Home > Bahasa Melayu
Tadarus di Istana Nurul Iman Berakhir Dengan Majlis Khatam Al-Quran
Majlis Penutup Tadarus berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman
June 10th, 2017 | 09:33 AM | 3591 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Tadarus Al-Quran yang bermulanya sejak awal Ramadan di Istana Nurul Iman berakhir dengan Majlis Khatam Al-Quran.
Majlis yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman di sini dilangsungkan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong.
Bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai memulakan majlis yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis seterusnya disusuli dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran didahului oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong diikuti dengan Takhtim termasuk Tahlil beramai-ramai.
Doa Khatam dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.
Majlis juga disemarakkan dengan Dikir Syarafil Anam daripada pegawai-pegawai masjid yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang yang kemudiannya memimpin Doa Dikir.
Bagi memohon keberkatan, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat dan hadir di majlis tersebut, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri dan Manteri-Manteri Hulubalang, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pemangku Pesuruhjaya Polis, Ahli-Ahli Lembaga Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]