Home > In The Court
Padah Miliki Barang Tegahan
January 8th, 2024 | 08:18 AM | 609 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Mahkamah Majistret telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak BND43,400 atau 24 bulan pemenjaraan jika gagal membayar denda berkenaan terhadap seorang warganegara Filipina.
Pemangku Majistret Kanan, Hajah Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memutuskan hukuman terbabit selepas defendan, Archie Galvan Sace mengaku bersalah atas tiga pertuduhan.
Defendan yang berusia 34 tahun itu ditangkap oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja di Kampung Kiarong dan Jalan Gadong pada 4 Januari 2024, jam 12.45 petang.
Mengkut pertuduhan defendan memiliki 25 karton rokok pelbagai jenis, 45 paket rokok pelbagai jenis dan enam botol minuman keras pelbagai jenis tanpa permit dan kebenaran yang sah.
Bagi pertuduhan pertama, defendan memiliki 21 karton dan 20 paket rokok pelbagai jenis, defendan telah dijatuhi hukuman denda mahkamah sebanyak BND32,800 atau 14 bulan pemenjaraan jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Bagi pertuduhan kedua, memiliki empat karton dan 25 paket rokok pelbagai jenis, defendan telah dijatuhi hukuman denda mahkamah sebanyak BND5,600 atau lima bulan pemenjaraan jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Bagi pertuduhan ketiga, memiliki enam botol minuman keras pelbagai jenis, defendan telah dijatuhi hukuman denda mahkamah sebanyak BND5,000 atau lima bulan pemenjaraan jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Semua barang yang terlibat iaitu rokok dan minuman keras dihukum rampas untuk diserahkan ke pihak kerajaan bagi tujuan dimusnahkan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Rohani Haji Abdul Hamid
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]