Home > Bahasa Melayu
Berbuka Puasa Di Rumah Eratkan Hubungan Kekeluargaan
March 30th, 2023 | 06:48 AM | 129 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Setiap tahun sepanjang bulan Ramadan, waktu berbuka puasa adalah antara waktu yang dinantikan oleh setiap umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa selepas seharian menahan lapar dan dahaga.
Pada bulan ini juga, berbuka puasa di luar seperti di restoran, hotel mahupun gerai turut menjadi pilihan atas faktor kekangan masa atau keletihan selepas bekerja.
Tambahan lagi, semasa bulan Ramadan ini, kebanyakan restoran mengadakan tawaran yang istimewa menerusi perkhidmatan bufet dengan menghidangkan pelbagai juadah bagi menarik minat pelanggan untuk berbuka puasa di restoran mereka setelah beberapa tahun ditiadakan berikutan wabak COVID-19 yang melanda dunia.
Namun, berbuka puasa di rumah bersama keluarga dalam suasana kesederhanaan masih menjadi tradisi sesetengah orang lazimnya bagi mereka yang kurang menggemari makan di luar atau ingin menjimatkan wang.
Hal ini turut diakui oleh Dayang Nurul Amal Lina binti Haji Muntil, berumur 29 tahun dari Kampung Perpindahan Lambak Kanan.
“Saya lebih memilih untuk berbuka puasa di rumah kerana kami sekeluarga dapat menikmati kebersamaan tanpa dibatasi waktu dan ia amat memudahkan kami sekeluarga untuk mengerjakan Solat Tarawih bersama," ujarnya.
Menurut beliau lagi, sekali sekala tidak salah untuk bertukar selera tetapi haruslah mengikut kemampuan masing-masing, kerana bersungkai di luar memerlukan kewangan yang besar apatah lagi kalau seseorang itu mempunyai ahli keluarga yang ramai.
Berbuka puasa bersama keluarga merupakan satu peluang untuk berkumpul dan mengeratkan lagi tali kekeluargaan.
Kita haruslah bijak mengawal nafsu dalam memilih juadah untuk berbuka terutama sekali jika kita memilih bufet yang menyajikan pelbagai jenis pilihan dan di sinilah kita harus bijak membuat pilihan untuk mengelakkan pembaziran.
Bulan Ramadan inilah masa untuk meluangkan masa bersama keluarga untuk berkumpul di rumah dan berbual-bual secara santai kerana kalau bersungkai di luar, perbualan dan masa agak terhad.
Umat Islam sangat beruntung kerana diberikan peluang untuk melakukan ibadat puasa dalam bulan Ramadan dan keistimewaan ini janganlah disia-siakan.
Buatlah persediaan yang sewajarnya untuk menyambut bulan mulia ini. Semoga di akhir bulan ini nanti, kita akan menjadi seorang muslim yang lebih baik daripada sebelumnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]