Home > Sports
NBD Berjaya Perolehi Pingat Gangsa Pertama
September 18th, 2022 | 14:50 PM | 3170 views
MALAYSIA
Negara Brunei Darussalam (NBD) berjaya memperolehi pingat gangsa pertama melalui sukan Karate Acara Kata Berpasukan Lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Ke-20, yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UiTM Shah Alam.
Pada pertandingan berkenaan, para atlet negara yang dianggotai oleh Awang Khairul Syafiq bin Khairul Ariffin, Awang Muhammad Nazirul bin Haji Johar dan Awangku Ahmad Munib Aiman bin Pengiran Haji Mohd. Hasimudin berjaya mengesahkan kedudukan pingat gangsa menewaskan Johor dengan kutipan mata 24.22 berbalas 23.72.
Sementara itu pada acara lain, atlet negara turut bertanding dalam Kata Individu Lelaki melalui Muhammad Ameerul Kamil bin Abidin; Kumite Individu Wanita (50 kilogram) melalui Dayangku Widad Aiman binti Pengiran Haji Mohammad Hasimudin; Kumite Individu Lelaki (55 kg) melalui Md. Adam Nawawie bin Mohd. Ishak; Kumite Individu Wanita (55 kilogram) melalui Farhah Farzana binti Mohd. Shamrin; Kumite Individu Lelaki (60 kg) melalui Md. Harith bin Dahlan; dan Kumite Individu Wanita (61 kg) melalui Amirah Syahidah binti Abd. Rahim.
NBD menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September 2022 di sekitar Lembah Klang dan Langkawi.
Kontinjen NBD telah disertai seramai 13 atlet yang menyertai sebanyak lima acara sukan, iaitu Akuatik (Renang); Karate; Petanque; Pencak Silat; dan Wushu.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]