Home > Bahasa Melayu
Timbalan Sultan Berangkat Ke Kejohanan Renang Brunei
YTM Pengiran Anak Muneerah berjaya mencipta rekod untuk Kategori Perempuan 50 Meter Kuak Dada dengan catatan masa 1 minit 12.59 saat.
April 21st, 2018 | 16:09 PM | 696 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Brunei Ke-26 bagi Kumpulan Umur.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ke kejohanan yang berlangsung di Kolam Renang Kebangsaan, Kompleks Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Berangkat sama, anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Pada kejohanan pada hari pertama, anakanda DYTM, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, perenang Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) Hammerheads menyertai Kategori Lelaki 100 Meter Bebas dengan catatan masa 1 minit 26.67 saat.
Manakala dalam Kategori Lelaki 50 Meter Kuak Dada, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim berjaya mendapat tempat ketiga, sekali gus memperbaharui rekod peribadi YTM dengan catatan masa 54.63 saat.
Sementara itu, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, perenang ISB Hammerheads berjaya mencipta rekod untuk Kategori Perempuan 50 Meter Kuak Dada dengan catatan masa 1 minit 12.59 saat.
Pada kejohanan tersebut, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan menerima pingat emas.
Kejohanan disertai oleh 235 perenang terdiri daripada 102 perenang perempuan dan 133 perenang lelaki dari beberapa buah kelab renang tempatan dan luar, termasuk Brunei Speed Swimming Club; Dolphin Swimming Club; ISB Hammerheads; Jerudong Swimming Club; Panaga Stingrays; Royal Brunei Recreational Club; Aqua Flippers Philippines; Gymkhana Club Miri; Miri Amateur Swimming Association; Kelab Rekreasi Petroliam, Miri; Power Aquatic Swimming Club, Kuching; The British School in Colombo, Sri Lanka dan Victoria Swimming Club, Labuan.
Sebanyak 1,339 penyertaan individu dan 33 penyertaan pasukan 'relay' diterima untuk bersaing dalam 17 acara renang dan tiga acara 'relay'.
Kejohanan anjuran Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA) dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan (JBS), berlangsung selama tiga hari hingga 22 April ini.
Kejohanan tersebut juga merupakan platform kelayakan bagi BASA untuk memilih perenang-perenang untuk Kejohanan Asia Tenggara Kumpulan Umur (SEAAG) Ke-43 yang akan diadakan di Filipina pada 6 hingga 8 Julai dan Sukan Sekolah ASEAN Ke-10 di Malaysia bermula 19 hingga 27 Julai.
Melalui Kejohanan Renang Brunei Ke-26 bagi Kumpulan Umur itu, BASA mengharapkan untuk melihat rekod-rekod kebangsaan baharu dari kumpulan-kumpulan dan peringkat umur baharu.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]