Home > Bahasa Melayu
Terdapat 64 peratus kerosakan gigi pada 2015 - 2017
MENTERI Kesihatan Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar
March 20th, 2018 | 11:06 AM | 612 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, menurut hasil daripada Kajiselidik Kebangsaan Kesihatan Mulut 2015 - 2017 di negara ini, telahpun menunjukkan hampir 64 peratus penduduk Brunei mempunyai kerosakan gigi yang tidak dirawat.
Ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan peratus bagi negara maju seperti Australia, yang mana peratus kerosakan gigi yang tidak dirawatnya adalah serendah 28.7 peratus.
Yang Berhormat membuat kenyaatan itu dalam perutusannya sempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2018, bertema ''Katakan Ahh : Fikir Mulut, Fikir Kesihatan'' pada 20 Mac.
Menurut Yang Berhormat, jumlah gigi yang berlubang atau hilang atau bertambal mengikut DMFT score (total number of decayed, missing and filled teeth - DMFT) dalam kalangan orang dewasa yang berumur 35 - 44 tahun adalah hampir sama, iaitu sebanyak 9.7 di Negara Brunei Darussalam dan 10.6 di negara Australia.
Manakala bagi kesihatan struktur di sekitar gigi pula, seperti gusi dan tulang, 74.8 peratus penduduk negara ini mempunyai keradangan gusi (inflammation of the gums). Perangkaan bagi masalah penyakit gusi itu menunjukkan perbezaan sebanyak kira-kira 15 peratus lebih tinggi di negara ini (iaitu 40 peratus) jika dibandingkan dengan kadar 24.5% peratus di Australia dalam kalangan orang dewasa yang berumur 35 - 44 tahun.
Walau bagaimanapun, DMFT score bagi kanak-kanak berusia 12 tahun adalah setanding dengan negara-negara jiran, yang mana ia menunjukkan jumlah DMFT score 1.0 bagi Negara Brunei Darussalam berbanding 0.8 di Malaysia dan 0.6 di Singapura.
Kaji Selidik tersebut juga menunjukkan hanya 37.4 peratus dewasa di negara ini telah pun membuat pemeriksaan di klinik pergigian dalam tempoh 12 bulan lalu. Seperti yang dimaklumi, pemeriksaan gigi adalah satu langkah pencegahan awal untuk mengesan masalah gigi.
Sehubungan dengan dapatan ini, adalah disarankan bagi orang ramai untuk membuat pemeriksaan gigi setiap tahunan kerana ia adalah sangat penting dalam mengekalkan kesihatan gusi dan gigi.
Antara langkah-langkah mudah yang boleh diambil oleh orang ramai untuk penjagaan kesihatan mulut adalah dengan mengelakkan faktor-faktor risiko seperti penggunaan tembakau dan pemakanan yang tidak sihat, mengamalkan tabiat kebersihan mulut yang baik dan membuat pemeriksaan gigi secara berkala dan tetap. Ahli-ahli keluarga juga memainkan peranan yang penting terutama sekali ibu bapa dalam membentuk tabiat penjagaan kesihatan mulut sejak dari kecil lagi dan dalam memberikan pendidikan asas seawal lagi mengenai dengan kepentingan menjaga gusi dan gigi kepada anak-anak mereka.
Kementerian Kesihatan melalui, Jabatan Perkhidmatan Pergigian katanya, akan berterusan berusaha untuk meningkatkan aktiviti kesedaran dan promosi kesihatan mulut dalam kalangan penduduk di Negara Brunei Darussalam melalui program-program yang sedia ada seperti Program Antenatal dan Toddler untuk ibu-ibu mengandung dan anak-anak berumur di bawah lima tahun yang bertujuan untuk mendidik dan mendedahkan kanak-kanak dari usia muda mengenai cara yang betul untuk menjaga kebersihan dan kesihatan mulut.
Pendedahan pada penjagaan kesihatan mulut juga diperkukuhkan pada kanak-kanak sekolah melalui ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan bersama dengan pihak sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikkan. Program Pelaksanaan air berfluorida, yang telah pun dilaksanakan sejak tahun 1987, juga memberi manfaat kepada seluruh penduduk di negara ini.
Walaupun produk-produk yang mengandungi fluorida seperti ubat gigi menyumbang pada pencegahan dan kawalan kerosakan gigi, namun penfluoridaan air telah dikenal pasti sebagai kaedah yang paling kos efektif untuk pemberian fluorida kepada seluruh masyarakat tanpa mengira usia dan status sosioekonomi. Pada masa ini, air berfluorida telah dibekalkan pada hampir seluruh bekalan air di negara ini.
Mulut adalah cermin pada badan, di mana ia mencerminkan kesihatan secara umum. Kita harus bersama merealisasikan matlamat Hari Kesihatan Mulut Sedunia, iaitu bagi adalah untuk setiap individu untuk menyedari kesan kesihatan mulut terhadap kesihatan fizikal dan kesejahteraan.
Ia adalah selaras dengan misi Kementerian Kesihatan yang bertujuan untuk meningkatkan status kesihatan penduduk secara keseluruhan melalui pencegahan dan kawalan penyakit di negara ini. Oleh itu, pergilah berjumpa dengan doktor gigi di Klinik Gigi berhampiran biskita, "Katakan Ahh!" dan beri perhatian pada kesihatan mulut biskita.
Terdahulu Menteri Kesihatan menyatakan Hari Kesihatan Mulut Sedunia atau World Oral Health Day diraikan pada 20 Mac setiap tahun di seluruh dunia untuk memperingati kepentingan penjagaan kesihatan mulut.
Ia juga adalah sebagai satu platform bagi profesional pergigian untuk membarigakan serta meningkatkan kesedaran mengenai masalah kesihatan mulut dan pada masa yang sama untuk meneliti serta memantapkan tindakan-tindakan ke arah mengurangkan beban kesihatan mulut dalam kalangan masyarakat.
Persekutuan Pergigian Sedunia, (FDI World Dental Federation) telah pun melancarkan kempen tiga tahun untuk Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2018.
Tema yang diberikan bagi sambutan pada tahun ini, iaitu "Katakan Ahh!: Fikir Mulut, Fikir Kesihatan". "Katakan Ahh!" adalah perkataan yang lazim digunakan oleh doktor pergigian apabila mereka meminta pesakit untuk membuka mulut untuk diperiksa.
Tema itu, ia diharapkan akan menarik lebih ramai orang awam untuk membuat pemeriksaan gigi secara kerap. Manakala tema "Fikir Mulut, Fikir Kesihatan" seterusnya menekankan akan kepentingan penjagaan kesihatan mulut sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan fizikal secara keseluruhan.
Kesihatan mulut bukan sahaja bererti mempunyai gigi yang cantik atau gusi yang sihat, malah ia juga merangkumi daripada pelbagai aspek termasuk mempunyai keupayaan untuk bercakap, senyum, mencium bau, merasa, mengunyah, menelan dan keupayaan untuk menggambarkan emosi melalui ekspresi wajah tanpa merasa sakit atau, ketidakselesaan.
Mulut yang sihat dapat menyumbang pada peningkatan kualiti kehidupan dan, penampilan, malahan secara psikologi dapat membantu meningkatkan keyakinan diri individu serta meningkatkan pengalaman interaksi sosial.
Jika seseorang individu menghidapi penyakit mulut, kesihatan individu seseorang boleh terjejas kerana kurangnya fungsi mulut, misalnya apabila makan dan minum terganggu serta penampilan fizikal juga akan turut terjejas sehingga boleh mengakibatkan individu tersebut berasa kurang berkeyakinan (low-self esteem).
Oleh itu, mempunyai mulut yang sihat dan berfungsi adalah penting untuk kesihatan am dan kesejahteraan sepanjang hayat dari zaman kanak-kanak hingga ke usia tua.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Kementarian Kesihatan, Perutusan Menteri Kesihatan
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]