Home > In The Court
Dipenjara, Sebat Curi Kayu Gaharu
May 26th, 2023 | 08:30 AM |
229 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun tiga bulan, enam kali sebatan serta denda BND1,500 jika gagal, penjara satu bulan tambahan ke atas seorang lelaki warganegara Malaysia selepas mengaku bersalah mengambil kayu gaharu untuk di jual dan memasuki Negara Brunei Darussalam tanpa kebenaran pada bulan Mac lalu.
Defendan Mayzem Musa, 38 tahun, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Pemangku Majistret Kanan, Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid.
Mengikut fakta kes, defendan didakwa memasuki kawasan Hutan Simpan Bukit Labi tanpa kebenaran.
Defendan telah meninggalkan kampungnya di Kuala Baram dan menuju ke sebuah pasar di Marudi pada akhir Mac. Dari situ, defendan menaiki kereta ke Linai dan sampai di sana, dia berjalan kaki menuju ke Ulu Belait selama tiga hari.
Setibanya di hutan simpan Brunei, defendan mendirikan khemah dan bermalam.
Pada 2 April 2023 pukul 10.00 pagi, sepasukan anggota Unit Simpanan Pasukan Polis Diraja Brunei sedang menjalankan operasi yang dinamakan 'Jejak' di sepanjang sungai berhampiran tempat defendan berada.
Mereka menemui kesan kayu dari pokok gaharu dan membuat rondaan di kawasan itu di mana mereka terserempak khemah yang didirikan oleh defendan.
Pasukan itu kembali ke kem rondaan mereka untuk bersiap sedia bagi serangan hendap.
Kira-kira jam 10:59 pagi, mereka menyerang hendap khemah tersebut dan mendapati defendan sedang tidur menyebabkan defendan tersedar kemudiannya berjaya ditangkap.
Pihak Polis telah merampas satu kapak; dua parang dengan penutup; satu set alat untuk mengekstrak gaharu; empat peluru 'hidup' jenama 12 Sellier & Bellot; 10 peluru kartrij jenama 12 Sellier & Bellot; satu senapang patah berukuran 3 kaki 10" dengan penutupnya; satu plastik jernih mengandungi kepingan kayu gaharu; satu selimut; tiga kanvas; makanan dan bekalan perubatan serta peralatan memasak.
Serpihan kayu gaharu yang dirampas dihantar ke Jabatan Perhutanan untuk dianalisis. Jabatan Perhutanan mengesahkan bahawa kepingan kayu gaharu seberat 0.045kg dengan nilai pasaran BND2,000/kg menjadikan jumlah keseluruhan BND90.
Siasatan mendapati Defendan telah menjumpai dua batang pokok gaharu dan mengambil beberapa keping menggunakan alat pemotong. Defendan mengaku dia berniat menjual kepingan kayu gaharu itu untuk mendapatkan wang.
Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Negara (Jabatan Imigresen) turut menyiasat Defendan untuk mengesahkan status imigresennya di Negara Brunei Darussalam. Didedahkan bahawa Defendan adalah warganegara Malaysia dari Sarawak dan dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah bersamanya.
Defendan mengaku masuk ke Jabatan Imigresen Negara Brunei Darussalam menggunakan jejak tikus dengan niat untuk mencari kayu gaharu untuk dijual.
Rampasan senapang dan peluru diserahkan ke Bahagian Persenjataan di Bengkel Bolkiah Ibu Pejabat Polis Tentera, Bolkiah Garison untuk pemeriksaan dan ujian. Siasatan mendapati senapang patah dan peluru telah dibawa oleh Defendan untuk digunakan memburu semasa berada di dalam hutan.
Defendan mengaku tidak memiliki lesen senjata api dan bahan letupan dan tidak mempunyai sebarang permit untuk mengutip kayu gaharu dari Hutan Simpan Bukit Labi, Mukim Melilas, Belait.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Aqilah binti Haji Abidin.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]