Home > Bahasa Melayu
Penggunabijak Dinaik Taraf : Tawarkan Lebih Banyak Maklumat
December 2nd, 2022 | 10:05 AM | 228 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) mengadakan Majlis Perasmian Penaiktarafan Aplikasi Mudah Alih PenggunaBijak, di Dewan Bridex, Jerudong.
Majlis Perasmian Penaiktarafan aplikasi berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Perasmian itu berlangsung semasa Acara Pembukaan Ekspo Produk Tempatan (EPT) Tahun 2022 anjuran Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama MOFE serta Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) sempena Brunei December Festival (BDF).
Turut hadir pada Majlis Perasmian berkenaan selaku tetamu-tetamu kehormat majlis, dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhomat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Mengiringi Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II bagi menyempurnakan Majlis Perasmian tersebut, Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), MOFE, Dr. Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin.
Aplikasi mudah alih PenggunaBijak merupakan platform digital maklumat pengguna sebagai usaha JPES dalam memperkasa pengguna dengan maklumat-maklumat kepenggunaan, seterusnya menggalakkan pengguna untuk mengamalkan budaya Pengguna Bijak.
Aplikasi mudah alih ini dinaik taraf agar kekal relevan dengan memberi fokus kepada meningkatkan pengalaman pengguna (user experience) dan kebolehlihatan (visibility) maklumat pengguna, dengan menawarkan lebih banyak maklumat kepenggunaan di hujung jari secara interaktif melalui fungsi, seperti cari, cadang, susun dan tapis, mengikut pilihan pengguna; penggunaan dwi-bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris; pengemaskinian wajah baharu yang lebih menarik serta penyusunan maklumat yang lebih teratur.
Dengan moto ''Maklumat Memperkasa Pengguna'', aplikasi mudah alih PenggunaBijak menyalurkan maklumat kepenggunaan bagi kemudahan pengguna, termasuk maklumat mengenai Akta Kawalan Harga, Penggal 142; dan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011.
Selain itu, aplikasi berkenaan juga menyediakan kemudahan bagi pengguna untuk membuat aduan secara rasmi berhubung amalan perniagaan yang tidak beretika, di bawah skop Akta Kawalan Harga dan Perintah Pelindungan Pengguna.
Ciri-ciri lain terkandung di dalam aplikasi mudah alih PenggunaBijak, termasuk '1-2-Compare', yang dihasrat dapat membantu pengguna membuat perbandingan harga bagi lebih 180 barangan isi rumah yang dikongsikan secara sukarela oleh peruncit; dan Tips Pengguna Bijak bagi membantu pengguna memperkasa diri menjadi Pengguna Bijak melalui artikel, poster, garis panduan dan video kepenggunaan.
Sejak aplikasi mudah alih tersebut diperkenalkan pada tahun 2016, ia telah dimuat turun sebanyak lebih 38,000 kali menerusi platform App Store dan Google Play.
Aplikasi ini juga merupakan, antara saluran aduan rasmi yang banyak digunakan oleh para pengguna bagi membuat aduan, selain saluran Talian Darussalam, 123.
Orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke petak pameran JPES, di EPT 2022, yang berlangsung bermula 1 hingga 4 Disember 2022, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penaiktarafan aplikasi PenggunaBijak.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]