Home > Bahasa Melayu
Memperkasa Perpustakaan Sebagai Pusat Sumber Holistik, Inklusif
December 2nd, 2022 | 09:56 AM | 120 views
TUTONG
Bazar Buku anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berkonsepkan pameran dan jualan secara kembara kembali lagi tahun ini dan berlangsung di Perpustakaan DBP Tutong sehingga 5 Disember 2022.
Penganjuran Bazar Buku tersebut membolehkan masyarakat setempat memiliki akses mudah dan cepat untuk mendapatkan buku dan keperluan lain dalam satu ruang.
Sehubungan itu, Majlis Perasmian Bazar Buku 2022 telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis juga diselajurkan dengan pelancaran sembilan buah buku terbaharu terbitan DBP dan penyerahan buku tersebut kepada para penulis oleh tetamu kehormat.
Terdahulu, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan Bazar Buku 2022 merupakan penganjuran bazar kali kedua setelah dilaksanakan buat pertama kali di Daerah Temburong dan Daerah Belait pada tahun 2021.
“Penganjuran Bazar Buku 2022 di Perpustakaan DBP Daerah Tutong kali ini bertujuan untuk mewujudkan keterangkuman dan kesalinghubungan program dalam satu ruang, sekali gus memperkasa perpustakaan sebagai pusat sumber yang holistik dan inklusif," katanya.
Selain daripada pameran dan jualan buku, tambahnya, platform Bazar Buku tersebut juga memberikan ruang bagi perkembangan aktiviti mikroekonomi khususnya keusahawanan tempatan untuk mengetengahkan pameran dan jualan produk-produk tempatan.
Menurutnya, pengungkayahan Bazar Buku juga akan diangkat sebagai program tahunan jabatan yang disempenakan dengan Sambutan Bulan Bahasa bagi mengukuhkan lagi komitmen teras DBP untuk menjadikan buku, ilmu dan budaya membaca kekal sebagai elemen penting bagi pembudayaan literasi kebangsaan.
Konsep kembara atau menjengah ke luar daerah menyapa komuniti dengan tema 'Kembara Buku Santuni Masyarakat' diharap untuk menambah dekat jalinan perhubungan dengan masyarakat setempat dan sekitarnya, di samping menjayakan pengisian kegiatan Brunei December Festival Ke-6.
Beberapa akitiviti turut disediakan di sepanjang bazar berlangsung, antaranya Peraduan Mewarna Lukisan, Acara Riadah Berbasikal Santai dan Majlis Perkampungan Perpustakaan.
Selain jualan pelbagai jenis buku dan bahan terbitan lain yang disertai oleh penerbit kerajaan dan kedai buku tempatan, turut diketengahkan bidang keusahawanan belia dan vendor jualan makanan minuman di kawasan luar perpustakaan.
Bazar Buku dibuka dari pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang kecuali Jumaat dibukakan pada pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.30 petang.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]