Home > Bahasa Melayu
Berkongsi Pengalaman, Bekerjasama Tangani Risiko
YANG Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara Kali Ke-19 bertempat di Wafa Hotel.
October 7th, 2022 | 11:10 AM | 193 views
GADONG
Selama lebih dua tahun, kita semua melihat bagaimana wabak COVID-19 menjejaskan berjuta-juta orang, di seluruh dunia.
Dan semasa kita berjuang dengan wabak ini, kita juga melihat berlakunya cabaran besar lain, seperti wabak penyakit, konflik dan fenomena cuaca ekstrem.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan demikian semasa merasmikan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara Kali Ke-19, berlangsung di Hotel Wafa, Beribi, di sini.
Menurut Yang Berhormat, tahun ini sahaja, kita melihat beberapa siri bencana berkaitan cuaca yang dahsyat, di pelbagai bahagian dunia.
Berjuta-juta orang, tambahnya, kehilangan tempat tinggal, mata pencarian dan orang tersayang serta negara-negara Asia Tenggara tidak terkecuali.
Bahkan, beberapa negara di rantau ini, jelasnya, adalah antara yang paling teruk terjejas.
Walaupun krisis ini memberi kesan kepada semua orang, yang paling terkesan adalah golongan yang mudah terdedah.
Oleh itu, melindungi kumpulan yang terdedah ini, kata Yang Berhormat, adalah objektif yang penting. Bilamana struktur dan prosedur yang lebih berkesan amatlah diperlukan.
Dari itu, Yang Berhormat menegaskan, kita perlu menyesuaikan dan mengukuhkan usaha kita untuk menangani risiko, bertindak balas dengan lebih baik pada krisis serta memudahkan bantuan kemanusiaan dengan berkesan untuk pemulihan yang mampan dalam landskap yang sentiasa berubah ini, terutamanya kepada mereka yang dibebani dalam konflik dan sudah menghadapi kapasiti serta sistem yang terhad.
Justeru, mesyuarat tersebut menghimpunkan Pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dari Asia Tenggara, IFRC dan ICRC, terang Yang Berhormat, untuk membincangkan dan memutuskan isu-isu yang menarik minat Pergerakan dalam Pertubuhan Kebangsaan Asia Tenggara.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan, ia adalah peluang yang baik untuk berkongsi pengalaman, dalam menangani krisis, seperti pandemik COVID-19 dan mengukuhkan hubungan dalam kalangan Persatuan Kebangsaan untuk bekerjasama, dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta tindak balas terhadap pandemik dan isu kesihatan masa depan, di rantau ini.
''Saya dimaklumkan, bahawa pertemuan tahun ini juga menandakan penglibatan belia pertama melalui Sesi Dialog Khas bersama pemimpin untuk membincangkan cabaran yang dihadapi generasi muda dan mengenal pasti jurang kepimpinan serta penyelesaian untuk pemimpin masa depan.
''Selain itu, saya difahamkan, bahawa salah satu agenda tahun ini adalah untuk mewujudkan Rangkaian Pertolongan Cemas dan Kesiapsiagaan Pandemik Asia Tenggara dan menyatupadukan dan menyelaraskan Modul dan Sukatan Pelajaran Pertolongan Cemas, pada masa yang sama mewujudkan pusat akreditasi dan pensijilan. Saya amat percaya, bahawa dengan bekerjasama, kita boleh mencapai hasil ini dan meningkatkan prestasi dan keberkesanan kerja Pergerakan,'' ujarnya lagi.
Maka dari itu, Yang Berhormat berharap mesyuarat tersebut akan berjaya dalam mencapai objektifnya dan dalam mewujudkan langkah penting serta tindakan utama ke arah pembangunan dan penyelarasan tindakan kemanusiaan untuk menyokong masyarakat yang sihat, di mana-mana sahaja.
Pada ucapan itu, Yang Berhormat juga berbesar hati mengalu-alukan wakil dari 10 Pertubuhan Kebangsaan Negara Anggota ASEAN, wakil dari Timor Leste serta Pegawai dari Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) ke mesyuarat tersebut, yang dihoskan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam, di mana beliau percaya ia merupakan mesyuarat pemimpin secara peribadi pertama selepas dua tahun pandemik COVID-19 global.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]