Home > Bahasa Melayu
1,185 Kes Baharu COVID-19 Dicatatkan
June 28th, 2022 | 12:44 PM | 612 views
BERAKAS
Sehingga Sabtu, 25 Jun 2022, sebanyak 72.8 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini mendapatkan dos ketiga vaksin.
Manakala sebanyak 12.1 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.
"Sementara itu, sebanyak 73.6 peratus daripada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun telah mendapatkan dos kedua vaksin, manakala hanya 49.4 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga vaksin," terang Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media Normal Baharu COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.
Pada hari ini juga tambah Yang Berhormat, sebanyak 1,185 kes baharu telah dilaporkan, iaitu 1,173 kes hasil daripada pengesanan Ujian Pantas Antigen (ART) dan 12 kes adalah hasil daripada 267 Ujian Makmal RT-PCR yang dilakukan dalam tempoh masa 24 jam yang lalu.
Mengenai jumlah kes aktif harian COVID-19 yang tidak lagi dikongsikan sejak 22 Jun yang lalu, Yang Berhormat kemudiannya menerangkan bahawa ini adalah kerana kadar imuniti yang tinggi dalam kalangan penduduk negara ini disebabkan oleh vaksinasi atau jangkitan semula jadi bermakna jumlah kes harian tidak lagi memberikan gambaran yang jelas terhadap kesan jangkitan kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
Gambaran alternatif yang lebih baik terang Yang Berhormat, adalah melalui jumlah kes dalam Kategori 4 dan 5 serta kadar vaksinasi bagi kumpulan-kumpulan tertentu.
"Oleh itu, Kementerian Kesihatan akan memfokuskan laporan semasa kepada jumlah kes dalam Kategori 4 dan 5 serta kadar vaksinasi bagi kumpulan-kumpulan tertentu. Walau bagaimanapun, kementerian ini akan mengongsikan trend pengesanan kes mingguan COVID-19 semasa Sidang Media mingguan ini.
Sementara itu, orang ramai adalah juga dinasihatkan untuk memuat naik keputusan ART, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth untuk membantu Kementerian Kesihatan memantau situasi jangkitan," tegas Yang Berhormat.
"Pada amnya, dianggarkan sekurang-kurangnya 300,000 ART dibuat setiap minggu di NBD namun jumlah keputusan ART yang dimuat naik ke aplikasi BruHealth adalah jauh lebih rendah.
"Dalam pada itu, surveilan jangkitan Influenza-Like Illness (ILI) yang dilakukan berterusan oleh Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa pada masa yang sama, terdapat juga sedikit peningkatan kes-kes ILI sedang berlaku di negara ini dengan ujian makmal telah mengenal pasti virus daripada jenis Rhinovirus sebagai virus utama yang berlegar di dalam komuniti," terang Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menerangkan dalam usaha untuk mengawal penularan apa juga jangkitan ILI, orang ramai adalah diingatkan untuk melakukan tanggungjawab sosial masing-masing, asingkan diri jika berasa kurang sihat dan segera berjumpa doktor jika simptom dirasakan lebih berat daripada biasa.
Yang Berhormat turut mengingatkan orang ramai, khususnya mereka yang positif ART, berumur 18 tahun ke atas, menghidap penyakit kronik dan sedang mengalami tanda-tanda jangkitan COVID-19 bahawa mereka boleh hadir ke Klinik Flu di Pusat-pusat Kesihatan kerajaan bagi pemeriksaan lanjut untuk memastikan sama ada mereka boleh diberikan ubat 'antiviral' COVID-19 bagi mengawal tanda-tanda jangkitan daripada menjadi lebih teruk.
Ubat 'antiviral' tersebut tambah Yang Berhormat, sebaik-baiknya mula dimakan dalam masa lima hari daripada masa mula-mula mengalami tanda-tanda jangkitan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]