Home > Bahasa Melayu
Atasi Masalah Cabaran Global Bersama
June 26th, 2022 | 15:37 PM | 753 views
BERAKAS
Kemunculan COVID-19 telah mengejutkan masyarakat, sistem kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia dan di sebalik ketidakpastian ini, pandemik ini juga telah meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada para pemimpin dunia untuk membuat keputusan mengenai cara terbaik untuk mengurus kesan dan akibatnya, keputusan yang akhirnya akan membentuk kehidupan kita dalam pelbagai cara.
Memandangkan banyak negara sedang menuju ke arah endemik, kesan jangka panjang daripada pandemik kini baru dinilai dan difahami, yang mana, kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan kesejahteraan masih lagi didapati.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap ahli masyarakat untuk mengambil bahagian, mengikut kemampuan kita untuk menjaga kesihatan yang baik dan kesejahteraan semua orang di sekeliling kita.
Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk mempertimbangkan kesan pandemik pada semua peringkat masyarakat dan juga untuk belajar daripada pandemik COVID-19, supaya kita boleh lebih bersedia untuk masa depan, dengan menghasilkan penyelesaian yang praktikal dan adil untuk memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan untuk semua orang.
Demikian sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman yang juga selaku Penaung Diraja BGIC ISB semasa berkenan berangkat merasmikan Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (BGIC ISB) Kali Ke-18 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Yang Teramat Mulia menambah sabda, tidak diragukan, kita semua akan mendapat manfaat daripada hubungan rapat kerjasama antara kerajaan (inter-governmental) dan sektor awam-swasta, dalam usaha untuk mengatasi masalah cabaran global yang semakin meningkat secara bersama.
"Dan daripada apa yang kita lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, peranan yang dimainkan oleh para belia melalui kerja sukarela adalah amat diperlukan dan setiap darinya adalah sangat bernilai untuk mengatasi mana-mana kesusahan yang telah dan akan kita hadapi pada masa hadapan," sabda Yang Teramat Mulia.
Oleh itu, sabda YTM, adalah penting untuk kita melibatkan belia sebagai agen perubahan masa depan untuk pembangunan dan kemajuan rakyat dan negara tercinta, Brunei Darussalam.
Menurut YTM, BGIC ISB menyediakan platform untuk anak muda tempatan mencontohi pemimpin dunia dalam menghasilkan resolusi untuk menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan untuk semua orang, mengurangkan jurang antarabangsa dan mengurangkan kesan negatif COVID-19 ketika dunia beransur pulih dan berusaha untuk membina semula dengan lebih baik.
Sabda YTM lagi, kita semua seharusnya berasa amat berbangga kerana mengambil berat dan menyumbang kepada persidangan pimpinan pelajar ini dan kita semua menjalankan bahagian masing-masing dalam pelaburan sosial selain menunjukkan tanggungjawab sosial dalam memupuk suara dan tindakan belia.
"Saya sangat gembira melihat semua orang menjalankan usaha untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bekerja secara kolaboratif.
"Kita telah menyaksikan sendiri kepimpinan yang kuat para pemimpin dunia dan kerajaan mengambil tindakan tegas, menyediakan pakej bantuan dan langkah khas untuk melindungi pekerjaan dan gaji serta melindungi industri yang mudah terjejas seperti hospitaliti, perjalanan, dan pelancongan.
"Saya menyeru perwakilan muda untuk mengambil contoh teladan para pemimpin ASEAN dan pemimpin masyarakat, suarakan pendapat awda, namun tetap berfikiran terbuka semasa perbahasan jawatankuasa. Luangkan masa untuk mempertimbangkan idea yang berbeza dan keadaan orang lain," sabda YTM menyeru.
YTM juga bersabda, BGIC menggalakkan perkongsian yang kukuh dan pelbagai yang berusaha ke arah kerjasama yang saling menghormati, meningkatkan kepentingan bekerja secara kolektif dan dalam perpaduan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]