Home > Bahasa Melayu
Pelaburan Penjagaan Kesihatan Perlu Menjadi Keutamaan
June 26th, 2022 | 15:36 PM | 436 views
BERAKAS
Pelaburan dalam penjagaan kesihatan perlu menjadi keutamaan dan pembiayaan jaminan yang mencukupi jika kita ingin mencapai kesan jangka panjang.
Dalam pada itu, adalah perlu untuk menangani penentu teras kesihatan dan kesejahteraan, termasuk penentu sosioekonomi seperti pendidikan, pendapatan dan jantina.
Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC Sendirian Berhad, Dr. Peter Tay menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucaptamanya pada Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (BGIC ISB) Kali Ke-18, berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Menurut Dr. Peter Tay lagi, kita perlu berusaha bukan sahaja untuk menangani penyakit tetapi untuk mencapai masyarakat yang sihat untuk semua orang termasuk bekerjasama sebagai komuniti antarabangsa untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Dalam hubungan itu, setiap daripada kita mempunyai peranan untuk dimainkan dalam hal ini, sebagai warganegara global dan sebagai individu.
Sementara itu, Pengasas The Impian Project yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Elfera Health and Nursing Care Sdn. Bhd. (FERA Nursing), Dayang Lailatul Zubaidah binti Hussain dalam ucaptamanya pula menyatakan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa lebih satu bilion orang di dunia hidup dengan kekurangan upaya dan jumlah ini dijangka akan meningkat dua kali ganda kepada dua bilion menjelang 2050.
Sehubungan itu, tambahnya, untuk mencapai standard kesihatan, akses kepada kualiti yang baik, berkesan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berpatutan adalah mustahak.
Menurut beliau, di Negara Brunei Darussalam, kita sangat beruntung kerana diberikan penjagaan kesihatan secara percuma. Walau bagaimanapun, akses masih menjadi halangan bagi kebanyakan negara termasuk Negara Brunei Darussalam, disebabkan oleh pelbagai halangan antaranya halangan sikap, stigma, diskriminasi amalan dan dasar serta kekurangan maklumat.
Justeru, untuk mencapai langkah memenuhi SDG ujarnya, adalah perlu memohon ekuiti berbanding pertimbangan kesaksamaan dalam peruntukan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diperlukan kepada orang yang paling memerlukannya kerana mereka juga boleh menyumbang kepada masyarakat.
"Melihat ke hadapan, akses kepada penjagaan kesihatan percuma telah memberi kita titik permulaan yang penting dalam usaha untuk menjadi masyarakat inklusif. Mengenal pasti jurang dan menghapuskan halangan kepada kebolehcapaian adalah langkah seterusnya," terang Dayang Lailatul Zubaidah.
Tambahnya, kita perlu membangunkan garis panduan kebolehcapaian kebangsaan bagi kemudahan penjagaan melalui rundingan bersama Orang Kurang Upaya (OKU) atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyokong mereka.
Beliau menjelaskan, perundangan dan dasar kebangsaan mengenai penjagaan kesihatan harus diperkukuh untuk dilaksanakan.
Di samping itu, ujarnya, kita harus mempromosikan skim insurans kesihatan swasta yang menawarkan perlindungan untuk peranti bantuan, perkhidmatan pemulihan dan penjagaan rehat.
Latihan untuk kakitangan penjagaan kesihatan dan penyampaian perkhidmatan untuk OKU mesti dipertingkatkan.
Dalam masa yang sama ujar beliau, perlunya untuk menambah baik penyelidikan dan proses pengumpulan data untuk memantau, menilai dan mengukuhkan sistem kesihatan kita untuk menyampaikan kepada OKU.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]