Home > Headline
Penjagaan Kesihatan Mental, Kesejahteraan Rakyat Penting
June 26th, 2022 | 13:51 PM | 337 views
KIGALI, REPUBLIK RWANDA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan berangkat ke Sesi Retreat Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Ke-26, yang berlangsung di Intare Conference Arena, Kigali, Republik Rwanda.
Semasa Sesi Retreat ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah, di mana baginda menzahirkan ucapan tahniah ke hadapan majlis Her Majesty Queen Elizabeth II selaku Ketua Komanwel atas Sambutan Jubli Platinum baginda The Queen dan juga atas khidmat bakti terhadap Komanwel selama 70 tahun.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Paul Kagame selaku Pengerusi CHOGM dan juga kepada Republik Rwanda, dalam menghoskan mesyuarat berkenaan secara bersemuka setelah ditunda selama dua tahun.
Menyentuh mengenai usaha-usaha pemulihan COVID-19, Kebawah DYMM menekankan kepentingan bagi menjamin pengedaran vaksin-vaksin secara adil dan saksama. Ke arah ini, baginda berterima kasih dan menghargai bantuan Ahli-ahli Komanwel kepada ahli-ahlinya yang lain, termasuk Negara Brunei Darussalam.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah menekankan kepentingan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan rakyat sebagai sebahagian daripada fasa pemulihan pasca COVID-19 dan usaha-usaha ASEAN mengenainya.
Dalam pada itu, baginda juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Bangladesh atas inisiatif negara tersebut berkenaan terhadap kesihatan mental (Roundtable on Mental Health : 'Rethinking Mental Health : A Commonwealth Call to Support, Care and Transform').
Pada mengakhiri titah, baginda juga mengalu-alukan United Kingdom untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel, yang akan berlangsung di Birmingham, dari 28 Julai hingga Ogos 2022.
Para pemimpin Komanwel semasa Sesi Retreat ini, antara lainnya membincangkan mengenai belia, teknologi dan inovasi serta cabaran-cabaran global.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]