Home > Bahasa Melayu
Kurnia Dihulurkan, Ringankan Beban
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan menyempurnakan penyampaian Kurnia Peribadi Kebawah DYMM kepada salah seorang penerima. | FOTO: INFOFOTO (Mohamad Azmi Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas)
June 29th, 2016 | 08:45 AM | 4755 views
SERIA
Selasa, 28 Jun. - Kebajikan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sentiasa diambil berat dan dipeduli melalui sumbangan atau bantuan yang dihulurkan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Keamanan dan kesejahteraan negara kecapi hari ini juga tidak dinafikan berkat kalungan doa buat raja yang dermawan dan prihatin dalam sama-sama memeduli kesejahteraan rakyat dan penduduknya dan ianya lebih jelas terbukti dengan kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah yang dikurniakan kepada golongan tertentu di seluruh negara.
Sejumlah 2,261 penerima di Daerah Belait yang terdiri daripada anak yatim, penerima bantuan kebajikan bulanan, Orang Berkeperluan Khas (OBK) dan penerima bantuan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) menerima kurnia peribadi Kebawah DYMM bersempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
KEBERANGKATAN tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Pusat Insani, Seria.
Berangkat menyempurnakan pengurniaan berkenaan di Dewan Pusat Insani di sini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Kurnia Peribadi Kebawah DYMM sempena Aidilfitri bagi Tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi bagi Daerah Belait.
Pengurniaan kurnia tersebut setentunya dapat meringankan beban, terutama mereka yang memerlukan bantuan dalam turut sama meraikan Aidilfitri yang bakal menjelma ini nanti.
Pasangan dua beradik dari Kampung Lumut, Awang Ahmad Nabil Ali Hassan bin Sulaiman, 16, dan adiknya Dayang Siti Norsyahindah binti Sulaiman, 15, ketika ditemui melahirkan rasa syukur atas kurnia yang diberikan dan ianya sedikit sebanyak membantu untuk membeli keperluan terutama barangan sekolah mereka masing-masing.
Mereka yang baru kehilangan ayah mereka pada April lepas itu kini tinggal bersama ibu dan nenek mereka.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah menyempurnakan penyampaian kurnia kepada golongan tertentu.
Manakala ibu tunggal dari Kampung Mandaram Kecil, Sambun Anak Lembang, 60, gembira akan kurnia yang dikurniakan itu walaupun beliau tidak menyambut raya namun sumbangan itu adalah untuk simpanan tabungannya demi kegunaan masa depan.
Sementara Awang Md. Nur Danial @Md. Jasnie bin Md. Denis, 19, yang menghidap Cerebral Palsy juga menerima kurnia peribadi Kebawah DYMM dan setentunya atas kurniaan tersebut dapat membeli barangan keperluan hariannya.
Ibunya, Dayang Julia Abd. Rahman menjunjung terima kasih ke hadapan majlis Kebawah DYMM dan mendoakan di bulan Ramadan yang suci dan berkah ini semoga baginda dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah negara dengan aman dan sentosa.
SUASANA Majlis Penyampaian Kurnia Peribadi Kebawah DYMM bagi Daerah Belait yang berlangsung di Dewan Pusat Insani, Seria.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi, Noraisah Muhammed
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]