Home > Bahasa Melayu
Kenaikan Pangkat Pengiktirafan Sumbangan ABDB
PEMERINTAH Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd. Tawih bin Abdullah menyempurnakan lencana kenaikan pangkat kepada salah seorang pegawai kanan ABDB yang berlangsung di Mess Pegawai, Berakas Garison. | FOTO: PELITA BRUNEI (Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
May 28th, 2016 | 11:42 AM | 5614 views
BERAKAS GARISON
Jumaat, 27 Mei. - Dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), seramai dua pegawai kanan, 72 pegawai dan seorang pegawai kadet ABDB telah diperkenankan untuk dinaikkan pangkat pada Majlis Kenaikkan Pangkat berlangsung di Mes Pegawai Berakas Garison, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd. Tawih bin Abdullah.
Anggota yang dinaikkan pangkat ialah Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, 265 Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah dinaikkan ke pangkat Brigadier Jeneral dan Pengarah Perkembangan Keupayaan Tentera; 609 Leftenan Kolonel (U) Haji Mohd. Muluddin bin Awang Haji Latif dinaikkan ke pangkat Kolonel.
PEMERINTAH Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd. Tawih bin Abdullah menyempurnakan lencana kenaikan pangkat kepada pegawai kanan ABDB yang berlangsung di Mess Pegawai, Berakas Garison (atas dan bawah).
Sementara itu, seramai 14 pegawai dinaikkan ke pangkat Mejar / Leftenan Komander Tetap, 12 pegawai dinaikkan ke pangkat Pemangku Mejar / Leftenan Komander, 18 pegawai dinaikkan ke pangkat Kapten / Leftenan Tetap, 27 pegawai dinaikkan ke pangkat Pemangku Kapten / Leftenan dan seorang pegawai dinaikkan ke Leftenan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Awang Abdul Aziz bin Haji Mohd. Tamit; Ahli-ahli Komiti Eksekutif Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, komandan-komandan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan dan ABDB serta ahli keluarga para pegawai yang dinaikkan pangkat.
Kenaikan pangkat ABDB merupakan pengiktirafan yang berterusan sebagai penghargaan dan ganjaran kepada pegawai-pegawai yang telah melaksanakan tugas dengan baik dan memberikan sumbangan kepada ABDB.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Haniza Abdul Latif
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]