Home > Bahasa Melayu
NBD - Persekutuan Rusia menandatangani Memorandum Kerjasama
Menteri KKBS, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md. Yussof dan Menteri Kebudayaan Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Medinsky bertukar dokumen Memorandum Kerjasama yang telah ditandatangani. | Foto: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
May 25th, 2016 | 10:29 AM | 1475 views
SOCHI, RUSSIA
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata, pelaksanaan program-program pusingan kedua di bawah Persefahaman Kerjasama Kebudayaan di antara ASEAN dan Persekutuan Rusia diharap dapat memanfaatkan lebih ramai golongan belia yang merupakan golongan produktif masyarakat.
Menurut Siaran Akhbar Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), jelas Yang Berhormat aktiviti-aktiviti pada tahun 2013 dan 2014 misalnya ASEAN-Russia Symphony of Young Musicians dan Cultural Programme in Folk Music and Dance semasa Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2013 dan program pertukaran Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia dalam 'visual arts' pada 2014 di negara ini melihatkan kepada belia maksud budaya, iaitu daya fikir, daya cipta dan kreativiti bangsa yang membawa ketamadunan tinggi dan kegemilangan.
Oleh itu, memelihara dan menjaga budaya, sejarah dan warisan bangsa mustahak dihayati oleh golongan belia.
Yang Berhormat berucap demikian semasa menghadiri 'Cultural Ministers Meeting Russia-ASEAN Partnership Member State' pada 19 Mei lalu di Sochi, Persekutuan Rusia.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Medinsky.
Menteri-Menteri lain yang bertanggungjawab ke atas kebudayaan yang hadir ialah Menteri-Menteri dari negara-negara Kemboja, Laos, Singapura dan Thailand.
'Cultural Ministers Meeting Russia-ASEAN Partnership Member State' pada utamanya membincangkan inisiatif ke arah mengukuhkan dan mempromosikan hubungan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan kemanusiaan khususnya melalui usaha bersepadu yang berterusan.
Ini termasuk kerjasama dalam bidang pemeliharaan, pemuliharaan dan pembaikan tapak-tapak warisan budaya.
Umumnya ASEAN dan Persekutuan Rusia berpuas hati terhadap kemajuan bidang-bidang yang telah diterokai selama ini.
Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat, menteri-menteri menyatakan sokongan kuat terhadap perlaksanaan projek-projek kerjasama bidang kebudayaan dan kesenian ke arah pembelajaran budaya, cara hidup dan adat resam negara-negara ASEAN dan Persekutuan Rusia dengan menentukan bidang-bidang keutamaan menurut kemampuan dan dasar negara masing-masing.
Berjalan seiringan mesyuarat ialah festival kebudayaan yang bertujuan bagi mempromosikan ASEAN Cultural Tourism dan kesenian serta kebudayaan ASEAN dengan mempamerkan seni budaya, tarian dan kraf tangan tradisi negara-negara ASEAN dan Persekutuan Rusia bagi menyemarakkan lagi ASEAN-Russia Year of Culture sempena Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia Ke-20.
Khusus mengenai hubungan kerjasama bidang kebudayaan dan kesenian, Negara Brunei Darussalam maju setapak lagi bila mana dalam aturcara yang berasingan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Persekutuan Rusia juga melalui Kementerian Kebudayaannya telah menandatangani Memorandum Kerjasama yang dijangka akan menggiatkan lagi proses pembelajaran, pertukaran maklumat dan perkongsian pengalaman dalam kedua-dua bidang untuk manfaat kedua-dua buah negara.
Memorandum Kerjasama telah ditandatangani oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Kebudayaan, Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Medinsky di Swissotel, Resort Sochi Kamelia di mana Mesyuarat Cultural Ministers Meeting of Russia-ASEAN Partnership Member State diadakan sejurus Mesyuarat berakhir pada hari Khamis, 20 Mei lalu.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Siaran Akhbar Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]