Home > Bahasa Melayu
Kerja Ada Kaitannya Dengan Hari Akhirat
SUASANA pada sambutan tersebut.
April 25th, 2018 | 12:49 PM | 336 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Berkhidmat itu datang dari hati yang akan dapat nilaian tinggi di sisi Ilahi.
Dalam Islam, kerja ada kaitannya dengan hari akhirat, tuntutan agama dan berkait rapat dengan Allah Subhanahu Wata'ala dan secara tidak langsung, kerja menjadi tujuan hidup kita sebagai hamba Allah yang perlu menjadi baik dan khalifah untuk memberi kebaikan kepada yang lain.
Itu yang membezakan kerja umat Islam dengan yang belum Islam, yang kerjanya mungkin hanya untuk menyara kehidupan.
Demikianlah antara inti pati ceramah yang disampaikan oleh Penceramah Tetap Pusat Da'wah Islamiah, Dr. Andas Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah dengan tajuk ceramahnya 'Tingkatkan Darjat Di Sisi Allah Semasa Berkerja' pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj 1439 Hijrah / 2018 Masihi bagi Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis diadakan di Dewan Al-'Afiah, kementerian berkenaan, yang mana acara kali ini diungkayahkan bersama oleh Jabatan Teknologi Penjagaan Kesihatan serta Jabatan Dasar dan Perancangan, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar dan Datin Dr. Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Awang Haji Abdul Manap bin Othman dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan.
Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai dan acara turut diserikan dengan Persembahan Tausyeh dari Al Muneer, Kelab Tausyeh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB).
Majlis adalah salah satu aktiviti tahunan Kementerian Kesihatan, bertujuan untuk memupuk dan mengeratkan silaturrahim di antara warga Kementerian Kesihatan, di samping memeriahkan lagi sambutan Israk dan Mikraj pada tahun ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]