Home > Bahasa Melayu
Dekati Penduduk Kampung Melalui Program Sua Muka
GAMBAR ramai
April 19th, 2018 | 12:14 PM | 511 views
LUMUT
Program Sua Muka adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan, iaitu Komunikasi Bersemuka, yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala di antara pihak kerajaan dan rakyat.
Ia merupakan platform untuk menyampaikan dasar dan maksud kerajaan demi memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat, ke arah cintakan agama, bangsa, raja dan negara.
Program tersebut untuk mendapatkan isu-isu dan pendapat, cadangan yang perlu diambil perhatian serta tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan.
Membarigakan dan mempromosikan perkembangan serta kemajuan mukim dan kampung, terutamanya tempat juga produk untuk diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar negara melalui penulisan rencana Kenali Negara Kitani (KNK) untuk disiarkan di Pelita Brunei, selaras dengan peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan.
Dalam usaha untuk terus mendekati penduduk kampung di negara ini, Program Sua Muka atau dikenali dengan Personal Contact kali ini diadakan di Rumah Kediaman Ketua Kampung Lumut II / Pemangku Ketua Kampung RPN Kampung Lumut, Awang Haji Abd. Rahman bin Hashim berserta Ahli Majlis Perundingan Kampung.
Ia adalah salah satu aktiviti berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait dalam usaha untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan.
Rombongan Jabatan Penerangan dialu-alukan oleh Ketua Kampung Lumut II serta Ahli Majlis Perundingan Kampung.
Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan dari Cawangan Penerangan Daerah Belait, Jabatan Penerangan.
Sembilan perkara antara yang dikongsikan daripada pihak MPK dan penduduk kampung adalah permasalahan termasuk cadangan yang berkaitan dengan prasarana dan kemudahan awam.
Penduduk kampung juga turut mengutarakan masalah berkaitan dengan isu keselamatan seperti kes-kes kecurian dan pecah rumah yang kerap berlaku di kampung berkenaan serta keselamatan yang berhubung dengan pengguna jalan raya.
Melalui program tersebut, jabatan memperkenalkan dan membarigakan aplikasi mudah alih Jabatan Penerangan 'InfoDeptBN' dan seterusnya menerangkan tatacara untuk memuat turun aplikasi 'InfoDeptBN' melalui Google Playstore bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna iOS.
Juga dikongsikan bersama, penggunaan bendera, 'banner' dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional serta bahan-bahan bacaan mengenai Wawasan Brunei 2035 dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah 2013.
Dalam membantu penduduk kampung untuk mengetahui, memahami dan menghayati maklumat-maklumat penting lebih terperinci, seperti Wawasan Brunei 2035, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah 2013, keusahawanan dan sebagainya, satu program, iaitu Program Masyarakat Bermaklumat juga dikongsikan kepada ahli MPK.
Dalam temu bual Pelita Brunei bersama Awang Haji Abdullah bin Othman, bekas Pegawai Pelajaran Kanan selaku salah seorang penduduk kampung berkenaan, beliau berkata, Program Sua Muka di antara Jabatan Penerangan dan penduduk kampung, setelah perbincangan, saya merumuskan program sebegini hendaklah diteruskan dari semasa ke semasa.
Melalui program tersebut juga kami dapat berkongsi masalah dan dengan adanya khidmat Jabatan Penerangan sebagai jambatan untuk berhubung dengan pihak-pihak tertentu.
Sebagai wakil penduduk, kami berharap agar perkara yang menjadi masalah akan dapat ditangani dan diambil tindakan dengan segera.
Program berkenaan merupakan landasan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan agar semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan, bukan sahaja melalui penyampaian taklimat, sesi dialog, malah juga melalui lawatan-lawatan mengikut kesesuaian.
Melalui program yang menjurus mendekati orang ramai secara bersua muka masih releven pada zaman ini kerana ia lebih bersifat 'personal' dan interaksi akan lebih berkesan serta dapat memberikan jalinan muhibah yang baik.
Oleh itu, hubungan yang sedia terjalin baik di antara warga perkhidmatan awam dan masyarakat akan dapat mewujudkan kemakmuran serta keharmonian masyarakat juga negara. Ia sangat penting dalam memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat.
Dengan adanya program sebegini ia akan dapat memupuk semangat kekitaan dan bertanggungjawab terhadap negara serta menyemai hubungan yang erat di antara kerajaan dengan rakyat.
Pada era yang serba canggih, Jabatan Penerangan juga tidak ketinggalan untuk mempunyai laman media sosialnya. Penduduk negara ini boleh mengikuti Facebook Jabatan Penerangan, iaitu 'Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri', akaun Twitter : '@infodept_bn' dan akaun Instagram : '@infodept.bn'. Juga boleh memuat turun Aplikasi Mudah Alih InfoDeptBN bagi pengguna Apple dan Android.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]