Home > Bahasa Melayu
Sembada B9 dan 188 berpotensi meningkatkan pengeluaran padi dan beras domestik
BENIH biji padi Sembada.
March 17th, 2018 | 09:35 AM | 1260 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Projek kerjasama penyelidikan mengenai varieti-varieti padi hibrid di antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Syarikat PT. Biogene Plantation dari Republik Indonesia telah dijalankan selama tiga musim penanaman yang bermula pada tahun 2016 hingga tahun 2018.
Projek kerjasama itu bertujuan untuk mengenalpasti kesesuaian varieti-varieti padi hibrid keluaran Syarikat PT. Biogene Plantation sama ada varieti-varieti tersebut mampu mengeluarkan hasil yang tinggi (melebihi 8.5 tan metrik sehektar semusim (mt/ha/musim) secara konsisten) di kawasan yang mempunyai sistem berpengairan di Negara Brunei Darussalam.
Kajian tersebut telah dijalankan di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan, Mukim Pengkalan Batu.
Hasil daripada kajian yang telah dilaksanakan, terdapat dua varieti padi hibrid iaitu Sembada B9 dan Sembada 188 telah dikenalpasti berpotensi untuk ditanam di negara ini bagi membantu meningkatkan pengeluaran padi dan beras domestik berdasarkan keupayaan dan potensi varieti-varieti tersebut mengeluarkan hasil yang tinggi sehingga mencapai 12 mt/ha/musim di sebahagian kawasan padi di Republik Indonesia seperti di Kepulauan Jawa.
Pada musim pertama (Mei - Ogos 2016) dan kedua (Mei - Ogos 2017) kajian dijalankan, kedua-dua varieti menunjukkan purata hasil yang konsisten sekitar 5 -6 mt/ha/musim. Penuaian bagi musim ketiga juga telah dilaksanakan.
Hasil yang diperoleh adalah lebih rendah di Negara Brunei Darussalam berbanding dengan penanaman di Republik Indonesia disebabkan faktor utama iaitu masalah tanah di negara ini yang pada umumnya adalah tanah jenis asid sulfat dan masam.
Walau bagaimanapun, pengeluaran hasil varieti Sembada B9 dan Sembada 188 adalah lebih tinggi berbanding dengan purata hasil varieti padi Laila iaitu 3 mt/ha/musim.
Ini bermakna Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah pun berjaya mengenalpasti varieti yang berupaya mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding varieti padi Laila iaitu daripada 3 mt/ha/musim kepada 6 mt/ha/musim.
Projek penyelidikan itu merupakan salah satu projek kerjasama penyelidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, bersama dengan institusi luar negeri dalam usaha untuk mengeluarkan hasil padi yang lebih tinggi sehingga melebihi tanda aras Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, iaitu sebanyak 8.5mt/ha/musim sekaligus menyumbang kepada peningkatan tahap saradiri beras negara.
Selain daripada projek kajian dengan Syarikat PT. Biogene Plantation, pihak Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan juga menjalankan kerjasama dalam penyelidikan varieti-varieti padi hibrid dengan Syarikat Yuan Longping High-Tech Agriculture Co., Ltd. daripada Republik Rakyat China.
Manakala kerjasama ke atas penanaman padi hibrid (Titih) ketika ini sedang dalam peringkat proses pembekalan biji benih bersama dengan sebuah lagi institusi luar negara, iaitu Kementerian Pertanian, Ternakan dan Pengairan daripada Republik Kesatuan Myanmar.
Di samping itu juga, pihak Kementerian juga berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran pegawai-pegawai dan kakitangan serta peladang-peladang dengan menganjurkan kursus-kursus intensif dalam teknologi padi hibrid sebagai persediaan sebelum penanaman skala besar dilaksanakan.
Penanaman skala besar padi hibrid dijangka akan dijalankan secara berperingkat-peringkat di kawasan yang mempunyai sistem pengairan bermula pada bulan Mei 2018 ini nanti.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]