Home > Bahasa Melayu
Usaha eksport produk tempatan ke luar negara
MENTERI Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof.
March 13th, 2018 | 11:17 AM | 1049 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (KHELNP) akan terus berusaha dan bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkenaan dalam mengongsikan produk-produk yang boleh dikira sedia untuk dieksport ke luar negeri.
Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof berkata, mana-mana syarikat yang sudah mempunyai produk-produk untuk dipromosikan termasuk dari segi perkhidmatan seperti pelancongan, dijemput untuk membuat perjumpaan dengan pihak kementerian supaya produk mereka dapat dipromosikan di Pejabat-pejabat Perwakilan ataupun menerusi Pejabat Perwakilan di luar negeri.
''Produk-produk tersebut mestilah mencapai tahap yang boleh diketengahkan seperti mana yang kita difahamkan beberapa negara maju memerlukan produk-produk tersebut mencapai tahap atau 'standard' dari segi 'safety' ataupun dari segi kualiti,'' ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua) menjelaskan perkara itu semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman yang mengusulkan agar produk-produk Satu Kampung Satu Produk dipromosikan di luar negara.
Selain itu, Yang Berhormat juga mengulas mengenai perancangan KHELNP bagi meningkatkan perdagangan ke luar negara, iaitu dengan mengadakan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas dan seterusnya meneliti tatacara pengimportan dari negara-negara tersebut.
Tambah Yang Berhormat, ia bertujuan agar syarikat-syarikat ataupun perusahaan-perusahaan yang sudah mempunyai barangan produk berpotensi dapat menembusi pasaran tersebut dengan kelayakan peraturan-peraturan yang diperlukan oleh negara itu.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Marlinawaty Hussin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]