Home > Bahasa Melayu
Beberapa Tindakan Pembangunan Ekonomi Dilkenal Pasti
March 9th, 2018 | 11:51 AM | 599 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Bagi mencapai matlamat yang telah digariskan dalam Wawasan Brunei 2035, beberapa tindakan pembangunan ekonomi telah dikenal pasti termasuklah penyediaan Pelan Pembangunan Kluster ataupun Cluster Development Plan di bawah matlamat wawasan ketiga iaitu Ekonomi Yang Dinamik dan Berdaya Tahan.
Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa memberi respons kepada pertanyaan Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman mengenai Economic Blueprint dan Cluster Development Plan, bagi mengukur pencapaian yang berkaitan dengan matlamat ketiga Wawasan Brunei 2035, berkata dalam perkara ini, beberapa kluster ekonomi telahpun dikenal pasti dan dirangka di bawah strategi ekonomi 'micro economy'.
Yang Berhormat menjelaskan perkara tersebut di sebelah petang hari keempat Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 MMN, yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Tambah Yang Berhormat, rangka ini termasuklah penyediaan strategi dan pelan-pelan tindakan di mana sebanyak 4 Key Performance Indicators (KPI) telah ditetapkan bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah setiap bidang kluster berkenaan.
KPI tersebut ialah sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK); Peningkatan kepada hasil pendapatan kerajaan; Impak kepada penjanaan pekerjaan dan sumbangan kepada eksport negara.
Jelas Yang Berhormat seterusnya, kluster ekonomi ini antara lain termasuklah kluster tenaga, agrimakanan, logistik dan pengangkutan, pelancongan, halal dan ekonomi digital.
Menyentuh mengenai sasaran imbangan fiskal Bagi Tahun Kewangan 2019 / 2020 yang masih mengalami defisit, Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua (II) berkata, ianya mengambil kira harga pasaran minyak dunia yang masih lagi tidak stabil dan rendah jika dibandingkan dengan harganya pada tahun 2013 dan sebelumnya.
Berhubung pertanyaan mengenai pertumbuhan KDNK negara, Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua II (Kedua) menjelaskan, ia diunjur akan pulih dan meningkat pada kadar positif dalam tempoh jangka masa pendek dan sederhana.
''Untuk makluman, unjuran ini bersandarkan kepada beberapa sektor seperti pertanian, perhutanan dan perikanan dan sektor industri yang masing-masing dijangkakan akan mencatatkan pertumbuhan positif, mengambil kira aktiviti-aktiviti FDI yang mula membuahkan hasil.
Sektor perkhidmatan juga diunjurkan akan meningkatkan secara positif yang didukung oleh perkembangan dalam subsektor kewangan, sejajar dengan jangkaan pertumbuhan dalam pemberian pinjaman perbankan dan aktiviti insurans 'conventional' dan takaful yang juga selaras dengan perancangan aktiviti yang digariskan dalam Financial Sector Blueprint oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]