Home > Bahasa Melayu
Hubungan ketenteraan Brunei - Amerika Syarikat kukuh
MENTERI Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof menerima kunjungan hormat dari Komander Perintah Pasifik Amerika Syarikat (USPACOM), TYT Laksamana Harry Haris Jr. .
February 22nd, 2018 | 10:02 AM | 900 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kementerian Pertahanan telah menerima kunjungan rasmi dari Komander Perintah Pasifik Amerika Syarikat (USPACOM), Tuan Yang Terutama Laksamana Harry Harris Jr yang dalam rangka lawatan selama dua hari ke negara ini bermula kelmarin hingga 22 Februari 2018.
Sejurus ketibaan di Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison di sini, TYT disambut dengan kawalan kehormatan terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
TYT seterusnya mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan juga kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
Semasa kunjungan hormat tersebut, kedua-kedua pihak menekankan pentingnya untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala yang erat di antara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat yang terus berkembang, terutamanya melalui Latihan Kerjasama Kesiapsiagaan di Perairan (Cooperation Afloat Readiness and Training - CARAT), yang didahului dengan Latihan Kingfisher di antara Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Tentera Laut Amerika Syarikat.
Hubungan pertahanan di antara kedua belah pihak diperkuatkan lagi oleh interaksi pertahanan yang kerap di bawah rangka Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dengan rakan dialog atau ASEAN Defence Ministers' Meeting (ADMM) Plus, termasuk eksesais ketenteraan dan juga persidangan.
Sebelum lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan, TYT Laksamana Harris Jr. berkesempatan untuk menyampaikan anugerah 'Legion of Merit (Degree of Commander) for exceptionally meritorious conduct in the performance of outstanding services' kepada mantan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd. Tawih bin Abdullah di kediaman rasmi Duta Besar Amerika Syarikat.
Di bawah kepimpinan YDM Pehin, Negara Brunei Darussalam buat pertama kalinya telah menyertai dalam latihan Rim of the Pacific pada tahun 2014 dan juga menjadi tuan rumah kepada tiga persidangan pelbagai hala yang dianjurkan bersama dengan USPACOM di Brunei Darussalam.
YDM Pehin merupakan Pemerintah ABDB yang pertama dan juga Pemerintah Pertahanan yang kedua di rantau ini, yang menerima anugerah tersebut.
Lawatan ini adalah lawatan pertama TYT ke negara ini sejak pelantikannya sebagai Komander Perintah Pasifik Amerika Syarikat (USPACOM) pada 27 Mei 2015.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Rohani Haji Abdul Hamid
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]