Home > Bahasa Melayu
UNISSA terima kunjungan muhibah dari tiga Universiti Republik Indonesia
PARA Delegesi Republik Indonesia bergambar ramai bersama Pegawai-Pegawai Utama UNISSA.
February 14th, 2018 | 09:34 AM | 527 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru-baru ini menerima kunjungan muhibah daripada rombongan seramai 11 pegawai kanan dari tiga universiti terkemuka di Indonesia.
Ketibaan delegasi tersebut dialu-alukan oleh Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Arman bin Haji Asmad.
Tiga buah universiti tersebut ialah Universitas Al-Azhar Jakarta, Universitas Islam Negeri Sunan Ampel, Surabaya dan Universitas Hasanuddin Makasar. Ketiga buah universiti ini telah menyertai Ekspo Pengajian Tinggi 2018 yang diadakan pada 10 dan 11 Februari di Bridex Hall 2, seterusnya mengambil kesempatan membuat kunjungan ke UNISSA.
Dalam ucapan alu-aluan, Pemangku Rektor UNISSA mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kesempatan perjumpaan tiga buah universiti Republik Indonesia, yang mana perjumpaan tersebut merupakan platform ke arah jalinan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Pihak delegasi seterusnya mendengarkan taklimat perkembangan UNISSA yang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pendaftar (Akademik), Awang Hayatuddin bin Haji Moksin.
Dalam sesi perbincangan, kesemua perwakilan setiap universiti Republik Indonesia merancang untuk meneruskan lagi jaringan kerjasama pada waktu terdekat dengan UNISSA untuk mengadakan program pertukaran pelajar, pengendalian seminar atau bengkel dan usaha-usaha yang akan lebih memperkayakan bidang ilmu pengetahuan.
Pertemuan UNISSA dengan Ketiga universiti Republik Indonesia itu bertujuan untuk menjalinkan hubungan silaturahim, di samping dapat bertukar-tukar maklumat dan disokong lagi oleh kehadiran pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia diketuai oleh Dayang Shinta Hapsari, Setiausaha Pertama.
Perjumpaan tersebut dihadiri sama oleh pegawai-pegawai utama UNISSA.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Universiti Islam Sultan Sharif Ali
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]