Home > Bahasa Melayu
Giat tingkatkan keamanan dan kestabilan negara
SETIAUSAHA Tetap (Dasar dan Pelaburan) Kementerian Kewangan, Dato Paduka Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan pada upacara tersebut.
January 13th, 2018 | 11:01 AM | 2178 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan sentiasa giat berusaha dalam meningkatkan keamanan dan kestabilan Negara Brunei Darussalam.
"Melalui kenikmatan ini, sudah setentunya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing," tekan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pelaburan), Kementerian Kewangan, Dato Paduka Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-160 dan Rekrut Wanita Pengambilan Ke-53 yang berlangsung di Padang Kawad, Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison.
"Ini adalah kerana keamanan dan kestabilan negara merupakan salah satu faktor yang penting bagi menarik Pelabur Langsung Asing ke Negara Brunei Darussalam, yang mana secara tidak langsung akan meningkatkan persekitaran perekonomian negara yang kompetitif, kondusif, pro-perniagaan dan pro-pelaburan," jelas Dato Paduka.
Di samping itu, Dato Paduka juga menyentuh mengenai sifat berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah termasuk dalam hal ehwal pembelian / perolehan barangan kerajaan.
"Setiap pembelian / perolehan yang dilaksanakan hendaklah mengikut peraturan-peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.
Dengan adanya sifat sedemikian, ia akan dapat membantu khususnya kerajaan dalam memastikan kestabilan kewangan, meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dengan tidak mengetepikan 'value for money'," ujarnya.
Perkara tersebut tegas Dato Paduka, adalah amat penting dan berharga untuk diterapkan bukan sahaja dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan dan ABDB akan tetapi juga bagi seluruh warga Perkhidmatan Awam.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]