Home > Bahasa Melayu
Hajah Tinong juara The Nyirik Culinary Challenge
December 11th, 2017 | 10:04 AM | 537 views
TUTONG
Dayang Hajah Tinong binti Haji Selanda, 54 tahun, dari Kampung Bukit Beruang muncul juara pada Pertandingan The Nyirik Culinary Challenge 2017 sempena Festival Disember Brunei yang diadakan di Kawasan Pasar Malam Pekan Tutong, di sini.
Hadir menyaksikan pertandingan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selaku tetamu kehormat majlis.
Terdahulu, Awang Wardi dalam ucapannya berkata, pengalaman dalam menyediakan masakan atau makanan tempatan kelak dapat dikembangkan serta ia merupakan satu pakej atau imej untuk didedahkan kepada para pengunjung dan pelancong luar ke negara ini.
Menurut wakil penganjur, Dayang Siti Kaprawi dari Eko Kampung Enterprise menyatakan, seramai lapan peserta bertanding menyediakan kuih-muih Melayu dan tradisi.
Para peserta dikehendaki menyediakan kuih-muih lebih awal dan mereka yang terpilih seterusnya akan membuat demo penyediaannya.
Mereka dinilai oleh para hakim profesional, antaranya cef-cef dari Hotel Antarabangsa Rizqun, Brunei Hotel, Royal Brunei Catering dan para selebriti masakan tempatan.
Pertandingan diserikan dengan sesi pengenalan pada cara hidup sihat dan nutrisi buah-buahan yang disampaikan oleh Dayang Irene.
Tetamu kehormat seterusnya menyampaikan hadiah sumbangan daripada para penaja.
Pertandingan tersebut merupakan yang pertama diadakan, di mana Daerah Temburong akan mengadakan pertandingan serupa pada 17 Disember; Daerah Belait pada 24 Disember serta Daerah Brunei dan Muara pada 31 Disember nanti.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]