Home > Bahasa Melayu
1,215 pelajar ikuti Program Breakfast for School
HADIR selaku tetamu kehormat, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan SHHB). TETAMU kehormat menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta yang terlibat dalam Program Breakfast for School.
November 22nd, 2017 | 10:08 AM | 1120 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seramai 1,215 pelajar kurang berkemampuan yang dikenal pasti dari 13 buah sekolah di seluruh negara dipilih untuk mengikuti Program Breakfast for School.
Mereka terdiri daripada 393 pelajar dari empat buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara (DBM); 594 pelajar dari empat buah sekolah di Daerah Belait; 78 dari empat buah sekolah di Daerah Tutong dan 150 pelajar dari sebuah sekolah di Daerah Temburong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil penghargaan kepada penyumbang, guru-guru penyelaras dan para sukarelawan yang terlibat menjayakan program tersebut di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di sini ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.
Tahun ini merupakan tahun kedua YSHHB melaksanakan program tersebut dengan seramai 200 pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan dikenal pasti dan dipilih dari empat buah sekolah di DBM bagi mengikuti program berkenaan pada tahun 2016.
Sajian berupa telur dan susu segar penuh krim (dalam paket) disumbangkan sepanjang tahun oleh Ideal Multifeed Farm (Brunei) Sdn. Bhd. dan sajian susu segar penuh krim (dalam paket) pula disediakan oleh YSHHB.
Program itu diusahakan hasil dari laporan beberapa buah sekolah yang menyatakan peningkatan bilangan para pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan, yang datang ke sekolah dalam keadaan lapar.
Pemberian sarapan pagi tersebut dihasrat dapat membantu para pelajar untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran dengan baik.
Banyak kajian menunjukkan kesan positif terhadap para pelajar yang mengambil sarapan pagi yang berkhasiat.
YSHHB ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat baginda, iaitu sebagai tanda pemedulian serta kasih baginda kepada rakyatnya, di samping menjadi lambang pembentukan dan perpaduan masyarakat di negara ini yang sejahtera juga makmur.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]