Home > Bahasa Melayu
1,776 Graduan IBTE Terima Diploma Dan Sijil
TIMBALAN MENTERI Pendidikan menganugerahkan sijil kepada para graduan.
November 19th, 2017 | 10:28 AM | 917 views
TUNGKU LINK
Seramai 1,776 graduan diraikan dalam dua sesi Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Ke-25, Tahun 2017 di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam, di sini.
Pada sesi pagi, seramai 1,012 graduan menerima Sijil Pendidikan Teknikal dan Vokasional Brunei Darussalam (BDTVEC) Diploma dan Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal (HNTec).
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil dan diploma kepada para graduan pada sesi pagi majlis konvokesyen berkenaan.
Sementara itu, pada sesi petang, seramai 764 graduan menerima Sijil Pendidikan Teknikal Kebangsaan (NTec), Sijil Kelayakan Kemahiran Perindustrian (ISQ) serta BDTVEC Sijil Kemahiran 2 dan BDTVEC Sijil Kemahiran 3.
Mereka menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku tetamu kehormat majlis sesi petang majlis konvokesyen berkenaan.
Terdahulu Pengarah Pendidikan Teknikal selaku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr. Chin Wei Keh dalam ucapan alu-aluannya pada sesi pagi berkata, pendidikan teknikal merupakan asas penting pada pembangunan.
Menurut beliau, ia dapat dilihat sebagai salah satu komponen signifikan yang mampu menjana sumber tenaga kerja berkemahiran ke arah menyumbang kemajuan sesebuah negara, baik dari segi sosial mahupun ekonomi.
"Di Negara Brunei Darussalam, kualiti pendidikan teknikal akan sentiasa terus pesat berkembang dengan adanya kerjasama daripada semua pihak berkepentingan sebagai menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai perlunya untuk melaksanakan pendekatan 'a whole of nation approach'," jelas beliau.
Tambahnya, ini adalah bagi meningkatkan lagi sistem pendidikan teknikal agar dapat melahirkan graduan-graduan yang dilengkapi dengan pengetahuan serta kemahiran yang membolehkan mereka menjadi sumber tenaga manusia berkualiti dalam sama-sama mencapai hasrat Wawasan Negara 2035.
Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha-setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, naib-naib canselor dan rektor; pegawai-pegawai kanan serta ibu bapa dan penjaga para graduan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]