Home > Bahasa Melayu
ARDEX Peluang Terbaik Uji Keupayaan Negara
TETAMU kehormat, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Haji Mohd 'Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam semasa berucap dan merasmikan Mesyuarat Pertama Tim Perancangan Latihan untuk ARDEX 2016. | FOTO: PELITA BRUNEI (Haji Ariffin Mohd. Noor)
May 4th, 2016 | 08:33 AM | 3192 views
BERAKAS
Selasa, 3 Mei. - Negara Brunei Darussalam dan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana (Pusat AHA) menganjurkan dan mempengerusikan bersama Mesyuarat Pertama Pasukan Perancang Latihan untuk Latihan Simulasi Tindak Balas Bencana ASEAN (ARDEX) 2016, berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Haji Mohd. 'Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam berkata, ASEAN merupakan salah satu rantau di dunia yang paling terdedah dengan bencana.
''Bencana yang melanda rantau ini semakin berskala besar dan tindak balas juga menjadi lebih kompleks,'' jelasnya semasa berucap pada perasmian mesyuarat berkenaan, di sini.
Menurutnya, tindak balas bencana bukan lagi tanggungjawab satu atau dua pihak, tetapi merupakan tanggungjawab bersama termasuk dalam kalangan orang awam, tentera, organisasi antarabangsa dan organisasi bukan kerajaan.
ANTARA yang hadir pada Mesyuarat Pertama Tim Perancangan Latihan untuk ARDEX 2016 ialah perwakilan dari UNOCHA dan GIDRM.
Selain itu, konsep 'Satu ASEAN, Satu Tindak Balas' yang didukung oleh pihak kementerian ketika Negara Brunei Darussalam mempengerusikan Mesyuarat ASEAN Peringkat Kementerian mengenai Pengurusan Bencana Ke-2 pada tahun 2014, akan diuji cuba buat pertama kalinya di negara ini pada waktu latihan nanti.
Menurutnya lagi, ARDEX merupakan peluang yang baik bagi negara ini untuk menguji kapasiti dan keupayaan kita dalam bertindak balas dalam senario situasi terburuk.
Mesyuarat selama dua hari ini adalah mesyuarat perancangan bagi ARDEX yang akan dianjurkan di negara ini pada bulan Oktober nanti.
Secara umumnya, ARDEX merupakan latihan simulasi berskala besar melibatkan negara-negara ahli ASEAN lainnya dengan objektif untuk menguji cuba, mengamalkan, me'review' serta membuat penilaian terhadap mekanisme respons kecemasan dan pengurusan bencana ASEAN.
Selain itu, ARDEX juga memberi peluang pada sesebuah negara penganjur untuk menguji cuba mekanisme respons kecemasan dan pengurusan bencana di peringkat kebangsaan.
Mesyuarat antara lain membincangkan senario bencana termasuk mekanisme dan prosedur pengurusan bencana di peringkat kebangsaan serta serantau yang akan diuji cuba semasa ARDEX nanti.
Turut hadir oleh para delegasi luar negara terdiri dari negara-negara ahli ASEAN; United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (UNOCHA), Global Initiative on Disaster Risk Management (GIDRM) dan Swiss Agency for Development and Cooperation.
Mesyuarat turut melibatkan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; Kementerian Kesihatan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Pasukan Polis Diraja Brunei; Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC); Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan-Jabatan Daerah.
Source:
@BRUDIRECT.COM
by Marlinawaty Hussin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]