Home > Bahasa Melayu
Negara melakar program khas belia serantau melalui Musabaqah Tilawatil Quran
Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman
October 21st, 2017 | 09:28 AM | 877 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Buat julung-julung kalinya pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam mengundang peserta dari Timor Leste untuk menyertai Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara yang akan berlangsung selama tiga malam bermula 24 Oktober ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad pada Sidang Media di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah bagi membarigakan musabaqah tersebut yang akan disertai oleh seramai 21 qari dan qariah dari negara-negara anggota ASEAN dan Timor Leste yang berumur 18 hingga 31 tahun.
Musabaqah tersebut pertama kali diadakan pada tahun 2000 sebagai projek dwitahunan dan pada pertandingan edisi ke-8 tahun ini, Negara Brunei Darussalam akan diwakili oleh johan qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan, Awang Ahmad Zulwaqar bin Suhaili dan Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri.
Pertandingan akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas yang mana pada malam pertama seramai enam qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing, dan diteruskan dengan bacaan dari 15 yang lain pada malam kedua.
Malam ketiga pula merupakan Majlis Penutup dan Majlis Penyampaian Hadiah-Hadiah.
Radio Televisyen Brunei akan menyiarkan secara langsung musabaqah tersebut melalui saluran RTB Perdana, RTB Sukmaindera, Rangkaian Nasional, Rangkaian Nur Islam dan lintas langsung di Rangkaian Pilihan pada ketiga-tiga malam pertandingan berlangsung bagi memudahkan orang ramai mengikuti program unggul Negara Brunei Darussalam untuk belia rantau ini
Turut hadir pada Sidang Media tersebut ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed.
Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-8 merupakan projek anjuran kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, menerusi Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja dari Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; Kementerian Pendidikan; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawah kementerian lain yang terlibat.
Pada edisi ke-7 tahun 2015 yang lalu, juara qari telah disandang oleh peserta negara Malaysia dan juara qariah pula dari Republik Filipina.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]