Home > Bahasa Melayu
Tinjau kebajikan saudara baharu, golongan kurang berkemampuan
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud yang juga Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam (dua, kanan) meninjau lebih dekat hasil kraf tangan saudara baharu, Dayang Nur Haziah binti Abd. Rahman. | Foto: Hezlinawati Haji Abdul Karim
May 2nd, 2016 | 10:38 AM | 2656 views
TEMBURONG
Ahad, 1 Mei. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei sentiasa memeduli dan memelihara kesejahteraan dan kebajikan umat Islam khususnya asnaf fakir miskin.
Bantuan yang diterima daripada pihak kerajaan itu telah digunakan dengan sebaiknya oleh sebahagian daripada penerima dengan melakukan pelbagai usaha untuk keluar dari kumpulan penerima agihan wang zakat.
Salah seorang saudara baharu yang pernah menerima agihan wang zakat tersebut ialah Dayang Nur Haziah binti Abd. Rahman yang kini telah berjaya keluar dari kumpulan penerima agihan wang zakat dengan mengusahakan perusahaan kraf tangan dan menternak itik.
Kejayaan beliau itu telah menarik perhatian rombongan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), diketuai oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud yang juga Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam ketika mengadakan lawatan kerja ke Daerah Temburong.
Lawatan kerja Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti itu bermula di kediaman Dayang Nur Haziah di Kampung Batang Duri, Mukim Amo bagi menyaksikan hasil kraf tangan yang dihasilkan oleh saudara baharu tersebut serta perusahaan ternakan itik.
Melalui hasil jualan kraf tangan dan perusahaan ternakan itik itu telah berjaya membawa Dayang Nur Haziah keluar dari kumpulan penerima agihan wang zakat setelah menerimanya dari tahun 2009 hingga 2014.
Sebelumnya, Dayang Nur Haziah juga pernah secara sukarela memberi tempat tinggal tumpangan kepada asnaf muallaf yang tidak berkemampuan dan tiada tempat tinggal yang sempurna.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan rombongan setelah itu membuat lawatan ke beberapa buah rumah penerima agihan zakat di daerah ini.
Antara yang dilawati ialah rumah Awang Gani bin Abdullah (Berauh) dan Awang Muhammad Razali dan Abdullah (Tibu), juga di Kampung Batang Duri.
Awang Gani merupakan penerima agihan zakat berupa sewa rumah, keperluan asasi dan perbelanjaan persekolahan bagi dua orang anaknya, manakala Awang Muhammad Razali pula penerima agihan zakat berupa perbelanjaan keperluan asasi.
Seterusnya, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti membuat lawatan ke Rumah Bahagia di Kampung Sibut, Mukim Amo bagi ramah mesra bersama saudara-saudara baharu di sana.
Pada masa ini, Rumah Bahagia tersebut mempunyai empat pintu dan dihuni oleh empat buah keluarga yang mana keluarga pertama seramai dua orang; keluarga kedua seramai empat orang; keluarga ketiga seramai lima orang dan keluarga keempat seramai empat orang.
Kemudian, Yang Mulia Dato Paduka meneruskan lawatan ke Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie sebelum menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah di Masjid Kampung Belais.
Juga dilawati semasa lawatan kerja Yang Mulia Dato Paduka ialah ke rumah Dayang Nursabariah binti Abdullah Bunga di Kampung Temada, Mukim Bokok.
Dayang Nursabariah mempunyai dua orang tanggungan telah menerima rumah bantuan Pusat Da'wah Islamiah dengan perbelanjaan agihan zakat asnaf muallaf Majlis Ugama Islam.
Seterusnya, Yang Mulia Dato Paduka membuat lawatan ke rumah Dayang Nurulhuda binti Abdullah di Kampung Puni, Jalan Ujung Jalan yang mana Dayang Nurulhuda menerima agihan zakat berupa bayaran sewa rumah, kewangan bulanan, perbelanjaan persekolahan bagi dua orang anaknya dan keperluan asasi.
Dengan adanya bantuan-bantuan seumpama ini diharap para penerima akan dapat memanfaatkannya dengan sebaiknya dan menjadikan bantuan rumah tersebut sebagai satu dakwah yang berkesan selain dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.
Sebelum mengakhiri lawatan, Yang Mulia Dato Paduka berserta rombongan berkesempatan menyaksikan Pameran 1 Produk 1 Kampung yang dihasilkan oleh Majlis Perundingan Kampung Batu Apoi, Mukim Batu Apoi sejurus selepas menunaikan Sembahyang Fardu Asar di Masjid Kampung Batu Apoi.
Lawatan kerja yang juga disertai oleh Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Harun bin Haji Junid ini antara lain bertujuan bagi meninjau kebajikan saudara-saudara baharu dan golongan orang yang kurang berkemampuan di daerah ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Hezlinawati Haji Abdul Karim
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]