Home > Bahasa Melayu
Semarakkan sambutan Awal Tahun Hijrah
Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Hamzah Mohidin
September 20th, 2017 | 09:10 AM | 1974 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Tahun 1438 Hijrah akan melabuh tirainya dalam beberapa hari saja lagi, dan diikuti tahun berikutnya yang akan memulakan detik baharu dalam perkiraan kalendar Islam.
Umat Islam di seantero dunia termasuk negara kita juga akan menyambut Awal Tahun Hijrah secara besar-besaran dalam memperkembangkan dan menyebarkan syiar Islam sebagai tanda memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Makkah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah.
Sambutan Awal Tahun 1439 Hijrah akan berlangsung pada Khamis (malam Jumaat) 1 Muharam 1439H bersamaan 21 September 2017M didahului dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1438H pada hari tersebut iaitu 29 Zulhijjah 1438H sebelum masuk waktu Maghrib diikuti dengan membaca Doa Awal Tahun 1439H sejurus selepas masuknya waktu Maghrib.
Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara yang berdekatan bagi sama-sama menyemarakkan lagi Sambutan Awal Tahun 1439H dengan tumpuan sambutan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Bagi melancarkan majlis berkenaan, latihan penuh diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini.
Hadir menyaksikan latihan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1439H.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap (SUT) dan Timbalan SUT Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja yang lain.
Tema sambutan peringkat negara tahun ini adalah 'Kepimpinan Adil Teras Kesejahteraan'.
Apa yang diharapkan umat Islam akan dapat sama-sama hadir dan menyemarakkan sambutan Maal Hijrah itu nanti dengan membaca Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah bagi memohon berkat dan perlindungan dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Source:
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]