Home > Bahasa Melayu
Industri halal jana pendapatan sekitar BND88 juta
MENTERI Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Mohammad Yasmin bin Haji Umar semasa berucap pada Majlis Perasmian Brunei Halal Showcase 2017 Berita dan Foto : Haji Ariffin bin Mohamad Noor/Morshidi
August 24th, 2017 | 09:44 AM | 902 views
JERUDONG
Promosi produk dan perkhidmatan Halalan Thayyiban merupakan kewajipan berugama atau fardu kifayah dalam memenuhi keseimbangan kepada masyarakat yang lebih luas dan mengongsikan imej positif Islam.
Perkembangan sektor tersebut di Negara Brunei Darussalam dalam jangka waktu lima tahun kebelakangan terus meninggkat.
Menurut laporan 'Global Islamic Economy' 2017 yang dikeluarkan oleh Thomson Reuters telah mencatatkan peningkatkan dari kedudukan ke-17 pada tahun 2016 kepada kedudukan ke-12 pada tahun 2017.
Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar menyatakan perkara itu semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Brunei Halal Showcase (BruHAS 2017) anjuran bersama Jabatan Tenaga dan Perindustrian, JPM dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang diadakan di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, di sini.
Peningkatkan sebanyak lima kedudukan tersebut jelas Yang Berhormat lagi, dicapai hasil daripada sumbangan perkembangan dalam sektor pelancongan halal dan peningkatan dalam eko-sistem pemakanan halal di negara ini.
Sementara itu katanya, sehingga penghujung tahun 2016, industri halal tempatan telah berjaya menjana pendapatan sekitar BND88 juta yang dihasilkan oleh 35 buah syarikat dengan tenaga kerja seramai 835 orang.
Manakala trend sektor makanan halal dan gaya hidup juga dijangkakan akan terus meningkat dengan perkembangan sehingga USD3 trillion menjelang 2021.
Menurut Yang Berhormat, prinsip gaya hidup “Halalan Thayyiban” adalah sesuatu yang perlu dipegang teguh oleh para pengusaha mikro, kecil dan sederhana (MSME) dan prinsip tersebut merupakan kemestian menurut perundangan Islam selain dari keperluan Maqasid Shariah yang memastikan agar keseluruhan rangkaian permakanan antara lain hendaklah beretika, bertanggungjawab, dan berdaya tahan serta ianya tidak terhad kepada proses penyembelihan sahaja malah turut meliputi proses lain seperti pengangkutan, pemerosesan serta logistik dalam memastikan integriti dalam rangkaian perbekalan secara holistik.
Tambah Yang Berhormat lagi, menjelang penghujung tahun 2017, dua lagi syarikat perlaburan langsung asing akan membuka operasi di sini.
Syarikat tersebut ialah Syarikat Western Foods and Packaging Sendirian Berhad, sebuah loji penapisan minyak sawit dan pengeluar marjerin peringkat industri dan Syarikat Saahtain Foods, iaitu sebuah syarikat pengeluar makanan siap dimakan (ready-to-eat), akan memulakan operasinya di negara ini yang turut membukakan peluang pekerjaan sebanyak 132 jawatan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]