Home > Bahasa Melayu
Berangkat menyaksikan perlawanan Polo Sukan SEA
Oleh : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Azmah Haji Ahad, Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin
August 23rd, 2017 | 10:00 AM | 1757 views
KUALA LUMPUR
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Polo Sukan Asia Tenggara (SEA) Ke-29 Kuala Lumpur di antara pasukan Polo Negara Brunei Darussalam menentang Malaysia bertempat di Equestrian Park Putrajaya.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Equestrian Park Putrajaya dijunjung oleh Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Leisure and Service Group, Dato Badlishah Haji Ahmad dan seterusnya dijunjung bagi menyaksikan perlawanan Polo di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.
Pasukan Polo Negara Brunei Darussalam disertai oleh paduka-paduka anakanda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.
Turut berangkat bagi menyaksikan perlawanan tersebut adalah paduka-paduka adinda dan anakanda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, selaku Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Jefri Bolkiah, selaku Pengurus Pasukan Polo dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan Polo Malaysia memenangi perlawanan berkenaan dengan kiraan 12-4 dalam empat chaka.
Pasukan Polo negara akan meneruskan perlawanan seterusnya menentang pasukan Thailand di Royal Selangor Polo Club pada Khamis ini, 24 Ogos 2017.
Turut hadir mengiringi Kebawah DYMM pada perlawanan Polo berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]