Home > Bahasa Melayu
Pekerja TelBru Tamatkan Program Latihan
YANG Berhormat Menteri Perhubungan menyampaikan sijil kepada peserta yang berjaya program latihan. | FOTO: PELITA BRUNEI (Mohd. Sahrizal Haji Said)
April 28th, 2016 | 09:44 AM | 2649 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Rabu, 27 April. - Lebih 360 orang pekerja Telekom Brunei Berhad (TelBru) menerima sijil masing-masing setelah menamatkan program latihan anjuran TelBru pada Majlis Graduasi Kedua TelBru, bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat.
Juga hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Hisham bin Haji Mohd. Hanifah yang juga selaku Pengerusi TelBru.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay, dalam ucapan alu-aluannya berkata TelBru mempunyai komitmen yang tinggi dalam mengembangkan kemahiran tenaga kerjanya.
Ini jelasnya, termasuklah memberikan mereka peluang membuat lawatan sambil belajar untuk para pelajar maktab bagi mempermudahkan pembelajaran mereka yang berkaitan dengan kerja.
KETUA Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut.
Di samping itu juga ujarnya, TelBru juga menyediakan pekerjaan pertama first jobs untuk para graduan lepasan melalui Program Pembangunan Bakat Muda di samping meningkatkan kemahiran staf mid-career untuk mendalami kemahiran teras selain mengadakan Program Pembangunan Kepimpinan untuk pengurus kanan serta individu yang mempunyai potensi tinggi.
Pada majlis tersebut, tetamu kehormat, Yang Berhormat Menteri Perhubungan menyampaikan sijil kepada peserta program yang mengikuti Certified Internet Protocol Associate, TelBru Technician Apprentice Programme, TelBru Supervisory Certification Programme, TelBru Clerical Development Programme dan Regional Talent Development Programme.
Sementara Timbalan Menteri Kewangan, juga menyampaikan sijil kepada 41 penerima daripada pengambilan ketiga dan keempat Program Pembangunan Bakat Muda TelBru serta 15 orang Pelatih Teknikal TelBru.
TelBru akan menaja sepuluh pelajar dari Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal untuk menjalani Kursus Higher National Technical Education Certificate (HNTec) in Telecommunications and Information Technology selama dua tahun bermula pada Julai 2016, yang mana kursus tersebut adalah merupakan kursus dicipta bersama Institut Pendidikan Teknikal Brunei (Institute of Brunei Technical Education – IBTE).
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Aimi Sani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]