Home > Bahasa Melayu
Mangsa Kebakaran Kampung Batu Ampar Terima Bantuan MUIB
PEMANGKU Timbalan Setiausaha Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam (MUIB), Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu semasa menyerahkan wang agihan zakat kepada mangsa-mangsa kebakaran Kampung Batu Ampar, Pengkalan Batu berlangsung di KHEU Berakas. | FOTO: PELITA BRUNEI (Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)
April 27th, 2016 | 09:43 AM | 3729 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Selasa, 26 April. - Dalam usaha meringankan bebanan mangsa kebakaran, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) hari ini telah menyerahkan sejumlah BND1,200 wang agihan zakat kepada mangsa-mangsa kebakaran Kampung Batu Ampar, Jalan Mulaut Limau Manis yang telah berlaku pada 19 April yang lalu.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha MUIB, Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu pada majlis yang berlangsung di Bilik Seroja, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sebanyak dua buah keluarga yang terdiri daripada enam orang penghuni terlibat dalam kebakaran tersebut.
Pemilik rumah, Awang Yaakub bin Serail menerima sebanyak BND200 manakala cucu beliau, Awang Mazlan bin Haji Adam dan isteri, Dayang Noorhayati binti Shahbudin berserta tiga orang anak mereka menerima sebanyak BND1000.
PEMANGKU Timbalan Setiausaha Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam (MUIB), Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu semasa menyerahkan bantuan alat-alat persekolahan kepada salah seorang anak mangsa kebakaran Kampung Batu Ampar, Pengkalan Batu berlangsung di KHEU Berakas
Di samping itu, ketiga-tiga anak Awang Mazlan iaitu Dayang Iman Iffah Adibah dan Awang Md. Ilham Iman yang menuntut di Sekolah Menengah Masin serta Dayang Iman Iffah Najwa, bersekolah di Sekolah Rendah Limau Manis juga menerima bantuan berupa alat-alat persekolahan.
Kesemua wang tunai dan perbelanjaan peralatan persekolahan tersebut diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin.
Bantuan agihan zakat ini diharap akan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mangsa dan dengan harapan semoga mereka akan lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan ahli keluarga mereka daripada ditimpa musibah sebegini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Marlinawaty Hussin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]