Home > Bahasa Melayu
CONPHA Sebagai Platform Tambah Baik Pengurusan Kedermawanan
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku tetamu kehormat majlis ketika menyampaikan sijil kepada penyampai kertas kerja ucaptama
May 24th, 2017 | 11:43 AM | 704 views
GADONG
Kemanusiaan adalah salah satu prinsip utama dalam Islam, yang mana melaksanakan kebajikan atau membantu mereka yang dalam kesusahan merupakan kewajiban bagi setiap orang Islam.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata, dalam Islam, melaksanakan kebajikan seperti membayar zakat, wakaf dan bersedekah bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan dalam ketidaksamaan sosial termasuk mengurangkan kemiskinan.
Menurut Yang Berhormat, inisiatif serta aktiviti kebajikan yang proaktif dan mapan menjadi lebih penting sebagai cara untuk berjuang atas krisis kemanusiaan secara domestik serta global.
"Kita semua perlu berdiri bersama dan bertindak pantas untuk mencapai matlamat bersama kita bagi mengatasi krisis-krisis berkenaan," jelasnya lagi.
Yang Berhormat berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Derma-Bakti bagi Bantuan Kemanusiaan (Conference on Philanthropy for Humanitarian Aid - CONPHA) 2017 di Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) selaku tetamu kehormat majlis.
Beliau menambah, melalui penyelidikan berasaskan dasar, ekonomi dan kewangan Islam mesti lebih bersedia untuk mensejajarkan visi ke arah pembangunan mapan yang lebih adil dan saksama.
Persidangan anjuran UNISSA bersama Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF-KUIS) serta Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Malaysia dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Latihan Islam (IRTI), International Islamic Development Bank (IDB), Arab Saudi ini bertujuan untuk mengumpulkan para penyelidik, pengamal dan pembuat polisi yang berkaitan dengan bantuan kemanusiaan.
Ia juga dihasratkan untuk menjadi platform pada perbincangan isu-isu berkenaan bagi mendapatkan resolusi, idea dan pengongsian pengetahuan serta pengalaman, yang mana diharap dapat mengemukakan cadangan yang boleh dilaksanakan bagi menambah baik pengurusan kedermawanan bantuan kemanusiaan.
Lebih 30 kertas kerja dibentangkan pada seminar berkenaan yang membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi dan kewangan Islam termasuk zakat, wakaf, infak, hibah, sadaqa, sukuk dan mikro-kewangan.
Pembentangan kertas kerja ucaptama didahului oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, UNISSA, Profesor Abdul Ghafar bin Ismail yang menyampaikan tajuk 'Philanthropy and Humanitarian Aid', diikuti dengan pembentangan oleh Dr. Razali bin Othman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjudul 'Waqf for education : Practice, challenges and the way forward'.
Majlis diteruskan dengan Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan dan penyelidikan di antara UNISSA, KUIS dan Universiti Istanbul Sabahattin Zaim, Turki.
Penandatanganan MoU itu diwakili oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal bagi pihak UNISSA, manakala KUIS diwaliki rektornya, Profesor Dato' Dr. Ab. Halim bin Tamuri dan Universiti Istanbul Sabahattin Zaim diwakili oleh presidennya, Profesor Dr. Mehmed BULUT.
Persidangan itu diadakan selama dua hari, bermula hari ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]