Home > Bahasa Melayu
Berkenan berangkat ke Majlis Malam Kelab Bola Sepak DPMM 2017
February 18th, 2017 | 09:02 AM | 1211 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Februari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menghadiri Majlis Malam Kelab Bola Sepak DPMM 2017 anjuran Kelab Bola Sepak DPMM di Dewan Assarraa, Bandar Seri Begawan.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaluddin Al-Haj, Naib Pengerusi DPMM FC serta Ahli-Ahli Komiti Eksekutif kelab.
Berangkat sama ke majlis tersebut ialah paduka-paduka anakanda, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.
Majlis tersebut adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian-pencapaian kelab dan penghargaan kepada pihak pengurusan, pemain-pemain dan pihak-pihak berkaitan yang telah memberikan sokongan berterusan kepada setiap usaha-usaha kelab.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota selaku pengasas dan pengerusi kelab telah menerajui kelab ke arah mencapai kedudukan kukuh dalam sukan yang hebat ini di samping memastikan kejayaan penyertaan kelab berkenaan dalam liga-liga Malaysia dan Singapura yang lalu.
Pada tahun 2015, kelab berkenaan telah meraih pencapaiannya yang terbaik apabila menjadi juara dalam Liga Singapura. Kelab Bola Sepak DPMM akan meneruskan lagi penyertaannya dalam musim Liga Singapura yang akan datang bermula bulan Mac tahun ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]