Home > Bahasa Melayu
Projek Fasa Ke-2 Prasarana PKBN dianggarkan Bernilai BND2.8 juta
MENTERI Kebudayaan, Belia Dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof mendengarkan penerangan daripada Pegawai Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan kerja Raya, mengenai perkembangan Projek Fasa Kedua PKBN Batu Apoi.
December 11th, 2016 | 09:33 AM | 1259 views
TEMBURONG
Sabtu, 10 Disember. - Dengan bermulanya penggunaan kompleks baharu kekal Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi pada hari Ahad, 4 Disember 2016 yang baru lalu, ianya dihasratkan akan dapat menerima lebih ramai pelatih serta memberikan lebih banyak kaedah-kaedah latihan terkini kepada peserta program.
Dalam pada itu, Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa ditemui Pelita Brunei menjelaskan pada ketika ini kerja-kerja pembinaan prasarana fasa kedua PKBN sedang rancak dijalankan bersebelahan bangunan kem latihan sedia ada.
Yang Berhormat menjelaskan, kerja-kerja pembinaan ini termasuk pembinaan padang kawad yang akan digunakan semasa tamat latihan nanti serta pembinaan prasarana latihan atau 'Obstacle Course Field'.
FASA Kedua PKBN akan dilengkapi beberapa infrastruktur termasuk Padang Kawad serta Pentas Diraja.
Menurutnya, Projek Fasa Ke-2 di bawah kendalian Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan ini dianggarkan bernilai BND2.8 juta ringgit turut melibatkan pembinaan Pentas Diraja atau 'Royal Dias'.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, sementara itu prasarana latihan atau 'Obstacle Course Field' di bawah fasa kedua ini pula akan dilengkapi dengan prasarana 'rock-climbing', 'high and low ropes', 'zip line' atau 'flying fox', 'obstacle course' dan 'common task'.
PRASARANA latihan atau ‘Obstacle Course Field’ di bawah Projek Fasa Kedua PKBN akan dilengkapi dengan prasarana ‘rock-climbing’, ‘high and low ropes’, 'zip line' atau flying fox, ‘obstacle course’ dan 'common task’.
Pembinaan Fasa Kedua Prasarana PKBN ini katanya, dijangka siap sebelum Program Latihan Pengambilan Ke-6 menamatkan latihan mereka pada bulan Mac 2017 nanti.
Dalam pada itu, Majlis Penyerahan Bangunan Kem Latihan PKBN, Batu Apoi telah berlangsung pada 24 November yang lalu.
Ianya mula dibangun selepas berlangsungnya perletakan batu asas pada 24 Disember 2014 dan merupakan projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10.
Dilaksanakan oleh LSL Sendirian Berhad, pembinaan kem ini berkonsepkan mesra alam dan mengandungi lima blok bangunan yang terdiri daripada Blok Pentadbiran, Blok Pusat Perubatan dan Asrama Pelatih Perempuan, Blok Asrama Staff Wanita, Blok Surau, Dewan Makan, Bilik Kuliah, Dewan Serbaguna dan Stor serta Blok Asrama Staff dan Pelatih Lelaki.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]