Home > Bahasa Melayu
Rombongan PBPPPM Malaysia Diraikan
SESI bergambar ramai Rombongan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Daerah Cawangan Kota Bahru, Kelantan yang mengadakan lawatan Muhibbah dan Silaturahim ke Negara Brunei.
December 11th, 2016 | 09:28 AM | 1190 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sabtu, 10 Disember. - Rombongan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPPPM), Daerah Cawangan Kota Bahru, Kelantan yang mengadakan lawatan Muhibbah dan Silaturahim ke Negara Brunei diraikan dengan Majlis Makan Tengah Hari oleh Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar. Majlis diadakan di Tarindak D Seni Restaurant, Jalan Subok.
Di sebelah pagi rombongan mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Rimba II, Kampung Perpindahan Rimba. Dalam lawatan ini, rombongan telah dialu-alukan oleh Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Dayang Nadia Lee Siew Hoon bin Abdullah. Sesi lawatan diisi dengan taklimat Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN 21) yang disampaikan oleh Ketua Unit SPN21, Kementerian Pendidikan, Pengiran Hajah Mashayu Binti Pengiran Haji Yusof.
Rombongan juga turut mendengar taklimat mengenai Sekolah Menengah Rimba II dan Pembelajaran Abad Ke-21 yang disampaikan oleh oleh Pemangku Pengetua Sekolah Menengah Rimba II dan mengadakan lawatan ke Blok Amalan dan Inovasi Bagi Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21 (Learning Space).
Rombongan PBPPPM, Daerah Cawangan Kota Bahru, Kelantan ini mengadakan lawatan Muhibbah dan Silaturahim ke Wilayah Persekutuan Labuan dan Negara Brunei Darussalam pada 7 hingga 11 Disember 2016. Rombongan seramai 13 orang ini diketuai oleh Haji Zainal bin Othman.
Rombongan tiba di Negara Brunei Darussalam pada 9 Disember 2016 dan berada di negara ini sehingga 11 Disember 2016. Semasa berada di Negara Brunei Darussalam, rombongan mengadakan kunjungan hormat ke Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Negara Brunei Darussalam, lawatan ke Kementerian Pendidikan, kunjungan ke Persatuan Guru-Guru Melayu (PGGMB) Negara Brunei Darussalam dan ke beberapa buah tempat bersejarah.
Di antara tujuan lawatan rombongan ke Kementerian Pendidikan ialah bagi mengetahui perkembangan pendidikan di Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr. Haji Azman bin Ahmad; Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah; dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Kementerian Pendidikan
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]