Home > Bahasa Melayu
Tinjauan Pastikan Kelancaran Majlis Kesyukuran Hari Kebangsaan
Mohamad Azmi Awang Damit
February 22nd, 2024 | 08:23 AM | 294 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib, Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Tahun 2024M akan diadakan pada 13 Syaaban 1445H bersamaan dengan 22 Februari 2024M, bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan (BSB).
Bagi memastikan acara berjalan dengan lancar, Jawatankuasa Kerja Acara Keugamaan berkenaan petang tadi membuat tinjauan persediaan bagi acara berkenaan.
Hadir semasa tinjauan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Selain tumpuan utama di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, BSB, acara keagamaan tersebut juga akan diadakan di beberapa buah masjid di seluruh negara yang juga dijadikan tumpuan, iaitu Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan bagi Daerah Brunei dan Muara.
Manakala bagi Daerah Belait, tumpuan majlis ialah di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait dan Masjid Pekan Seria, Daerah Belait.
Bagi Daerah Tutong pula akan diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, sementara di Daerah Temburong, majlis akan berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Juga hadir, Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]