Home > Bahasa Melayu
Bimbing Anak Capai Kecemerlangan
Foto: Haniza Abdul Latif
September 20th, 2023 | 07:47 AM | 80 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Penglibatan ibu bapa dalam mendidik anak-anak tidak seharusnya terhenti setelah anak-anak berada di sekolah menengah tetapi ia perlu berterusan sehingga anak-anak menamatkan persekolahan mereka.
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga, dan sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Selain itu, ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga.
Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, mereka pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam gejala sosial yang tidak baik.
Oleh itu, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran.
Anak-anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran, dan ibu bapa perlu memberi motivasi serta galakan terhadap anak-anak untuk belajar.
Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, 'Bagaimana acuan begitulah kuihnya'.
Ibu bapa perlu menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku rujukan yang lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar, serta menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Untuk mengetahui perkembangan pelajaran anak-anak di sekolah, ibu bapa juga perlu sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin.
Usaha ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut, dan dalam hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat.
Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja, dan mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka.
Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak.
Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran.
Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Haniza Abdul Latif
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]