Home > Bahasa Melayu
203 Rekrut ABDB Tamat Latihan Diraikan
August 19th, 2023 | 07:31 AM | 209 views
PENANJONG GARISON
Seramai 203 anggota rekrut lelaki yang telah berjaya menamatkan tiga bulan latihan asas ketenteraan diraikan pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-171 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan ABDB (IL ABDB), Penanjong Garison, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Turut hadir, Timbalan dan Pemangku Timbalan Pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Timbalan Pemerintah Angkatan Bersama, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan anggota dari Kementerian Pertahanan berserta keluarga dan penjaga anggota-anggota rekrut.
Semasa upacara tersebut, tetamu kehormat telah memeriksa perbarisan, menyampaikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah-anugerah kepada rekrut-rekrut dan jurulatih-jurulatih yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kategori-kategori tertentu di sepanjang latihan dijalankan.
Penerima-penerima anugerah bagi Pengambilan Rekrut Lelaki Ke-171 ialah 55274 Rekrut (U) Mohammad Ajrie Hafizuddin bin Aji bagi Anugerah Rekrut Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Kemahiran Tentera Terbaik diberikan kepada 55135 Rekrut Haiqal Raziq bin Indara Sahrin.
Seterusnya, Anugerah Rekrut Terbaik Senjata Ringan diberikan kepada 55216 Rekrut Mohammad Wafiyuddin Mukminin bin Madain dan 55187 Rekrut Awangku Firas Khairin bin Pengiran Haji Zainuddin bagi Anugerah Latihan Jasmani Terbaik.
Manakala, 52432 Lans Korporal (U) Muhammad Rafiuddin Al-Islam bin Rosli telah menerima Anugerah Ketua Seksyen Terbaik dan 50787 Korporal (U) Muhammad Danial bin Fidzan sebagai Platun Sarjan Terbaik.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]