Home > Bahasa Melayu
AJKT Masjid Lambak Terus Semarakkan Bulan Ramadan
April 18th, 2023 | 06:39 AM | 124 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Bulan Ramadan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi terus disemarakkan dengan majlis-majlis keagamaan terutamanya majlis khatam yang diadakan oleh pelbagai pihak.
Bagi sama-sama meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Lambak, Berakas, petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Anak-anak Yatim bertempat di masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, selaku Penasihat AJKT Masjid Lambak, Berakas.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, disusuli dengan bacaan ayat-ayat lazim, Takhtim dan Asmaul Husna serta Doa Khatam yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Lambak, Berakas, Awang Haji Maarof bin Haji Chuchu selaku Pengerusi Majlis.
Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian sumbangan derma kepada 26 orang anak yatim bagi kawasan Kampung Lambak 'A', Kampung Lambak 'B', Kampung Terunjing dan kawasan sekitarnya termasuk belia dan beliawanis Masjid Lambak, Berakas.
Turut hadir, Ketua Kampung Lambak 'B', Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Zabidi; Pemangku Ketua Kampung Lambak 'A', Awang Haji Ibrahim bin Haji Abd. Rahman; Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Lambak, Berakas; pegawai dan imam Masjid Lambak, Berakas; para peserta Tadarus; muslimah; belia dan beliawanis Masjid Lambak Berakas; serta penduduk kampung yang berkenaan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]