Home > Bahasa Melayu
Perniagaan Petak Cube Semakin Popular
MENTERI Tenaga (Energy) dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.
October 20th, 2016 | 10:14 AM | 2062 views
TEMBURONG
Rabu, 19 Oktober. - Biarpun dunia ketika ini menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu, ianya bukan menjadi penghalang bagi rakyat tempatan kita menceburi bidang perniagaan biarpun secara kecil-kecilan.
Dengan ledakan teknologi masa kini, perniagaan online menerusi media-media sosial menjadi pilihan peniaga sebagai wadah paling berkesan dari segi aspek promosi serta customer-service sesuatu perniagaan itu.
Ketika diwawancara Pelita Brunei di Hari Terbuka Peniaga DARE di sini, mengenai trend perniagaan masa kini di Negara Brunei Darussalam termasuk penyewaan petak Cube mahupun perniagaan secara online menerusi penggunaan media-media sosial, Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar, selaku Pengerusi Darussalam Enterprise (DARE) berkata, tidak dinafikan terdapatnya peningkatan yang ketara pada sembilan bulan pertama tahun ini dalam jumlah perusahaan atau kedai yang menjalankan perniagaan menyewakan petak 'Cube' yang mendorong kepada meningkatnya penglibatan masyarakat kita dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) termasuk di Daerah Temburong.
Menurut Yang Berhormat, apa yang paling mustahak ialah untuk para pengusaha MSME bekerjasama rapat dengan pihak DARE terutama dalam memberikan maklum balas bagi tujuan pemantauan.
Tambah Yang Berhormat, pengusaha MSME di negara kita juga mampu sama-sama membangunkan ekonomi Negara Brunei Darussalam iaitu dengan menyumbang terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sasaran peningkatan pada peringkat permulaan sebanyak 20 peratus dalam jangka masa lima tahun dan seterusnya akan dapat ditingkatkan lagi menerusi pemantauan DARE.
Ini seiring dengan peranan MSME di negara jiran seperti Malaysia serta rantau ASEAN dalam mempelbagaikan ekonomi negara masing masing dan penyumbang utama kepada penjanaan pekerjaan.
Tegas Yang Berhormat lagi inilah antara perancangan pihak kerajaan untuk memastikan iklim perniagaan di negara ini dimudahkan di bawah Ease of Doing Business, salah satunya dengan mengurangkan impak birokrasi kerajaan.
Menyentuh mengenai pemantauan pihak DARE pula, menurut Yang Berhormat setiap perniagaan yang berdaftar akan menghadapkan laporan tahunan kepada DARE di samping sentiasa mengawal selia produk yang dijual oleh MSME.
Yang Berhormat juga menyarankan kepada pengusaha MSME terutama peniaga petak Cube dan perniagaan secara online agar menggunakan kreativiti masing-masing dalam mempelbagaikan produk jualan mereka termasuklah mengutamakan produk buatan Brunei disamping lebih banyak mempromosikan produk keluaran tempatan, satu kampung satu produk.
Di Daerah Temburong sendiri, perniagaan menerusi penyewaan petak Cube atau secara online di media-media sosial memang mendapat sambutan di kalangan masyarakat setempat. Salah satu destinasi bagi mendapatkan produk tempatan yang bermutu tinggi yang dihasilkan oleh Majlis-majlis Perundingan Kampung (MPK) di Daerah Temburong ialah di Kedai Kampung, Pekan Bangar.
Premis ini dikawal selia oleh Majlis Perundingan Kampung Selangan, Parit dan Biang Menengah dengan menawarkan ruang-ruang bagi jualan produk keluaran MPK daerah ini tanpa bayaran, di samping menawarkan 72 petak Cube pelbagai saiz yang disewakan pada kadar BND10 hingga BND20 kepada penduduk setempat dengan keutamaan diberikan kepada warga kampung di daerah ini.
Produk satu kampung satu produk yang dijual di sini termasuklah keropok pisang, keropok keladi, bawang goreng, ambulong, biskut dari ambulong, mee kering, produk anyaman serta pelbagai pilihan cenderahati daripada kayu. Juga dipasarkan ialah produk satu kampung satu produk jenis sejuk beku termasuklah mini karipap, lapat daun silat dan lain-lain lagi.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]