Home > Bahasa Melayu
Misi Jelajah Skuter Promosikan NBD Di Mata Dunia
February 3rd, 2023 | 09:36 AM | 265 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Mempromosi Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena Hari Kebangsaan NBD Ke-39 Tahun merupakan salah satu misi jelajah Indonesia dan Kepulauan Borneo yang dilakukan oleh Yang Di-Pertua Kelab Motosikal Veteran (Veteran Motorcycle Club - VMC), Awang Mu'adz bin Haji Abdul Hamid dengan menunggang skuter jenis Honda ADV 160cc.
Semangat patriotik dan rasa cintakan negara menguatkan semangatnya untuk melakukan pengembaraan tersebut selain berhasrat untuk mempamerkan NBD di mata dunia.
Perjalanan beliau mengambil masa selama 48 hari yang bermula dari Jakarta dan merentasi beberapa buah daerah dan kota di Kepulauan Jawa seperti Cilacap, Kota Salatiga, Yogyakarta, Gunung Bromo, Gunung Merbabu, Banyuwangi, Singaraja, Ubut, Kuta, Bali yang mana perjalanan tersebut adalah sejauh 1,400 kilometer.
Dari Bali, beliau meneruskan perjalanan ke Lombok dengan menaiki feri selama enam jam, kemudian menuju ke Surabaya juga dengan menaiki feri selama 20 jam sebelum mengakhiri perjalanan beliau kembali ke Jakarta dari Kediri dengan menunggang skuternya sejauh kira-kira 700 kilometer.
Pengembaraan kemudian ditunda selama seminggu bagi menguruskan hal ehwal untuk penghantaran skuter ke Kota Pontianak, Kalimantan bagi meneruskan misi untuk menjelajah Kepulauan Borneo yang akan dilanjutkan selepas Hari Kebangsaan NBD pada 23 Februari nanti.
Menurut, Awang Mu'adz semasa ditemu bual, pengembaraan bagi mengelilingi Kepulauan Jawa telah pun selesai dan berjaya tetapi untuk menyelesaikan misi 360 darjah mengelilingi Indonesia adalah hampir selesai sekiranya beliau berjaya mengelilingi Kepulauan Borneo nanti yang akan berakhir di Pontianak nanti.
Beliau juga berkeinginan untuk mengeluarkan sebuah buku yang akan dihasilkan melalui pengembaraannya.
“Setiap daerah dan kota yang saya 'singgahi', saya akan meminta untuk orang sekeliling menulis dan memberi ucapan Hari Kebangsaan NBD yang mana ucapan-ucapan dan kata-kata semangat yang ditulis itu akan disatukan untuk menjadi sebuah buku.
“Buku itu nanti juga akan mengongsikan tip-tip menunggang motosikal, doa-doa sepanjang perjalanan dan sebagainya yang mana ia akan disusun menjadi sebuah buku yang akan dikeluarkan untuk orang ramai nanti, insyaaAllah," katanya.
Pengembaraan seterusnya akan mengambil masa anggaran 20 hari, mungkin lebih, mungkin kurang, bermula dari NBD menuju ke Tawau dan berakhir di Pontianak, Kalimantan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]