Home > Bahasa Melayu
PEMEDAYAN Diseru Bantu Lindungi Warisan Budaya
SETIAUSAHA Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa berucap pada pelancaran Pertemuan Budaya Melayu Kedayaan 2016 di Taman Peranginan Kampung Parit, Mukim Pengkalan Batu. |FOTO : PELITA BRUNEI (Azmah Haji Ahad)
September 26th, 2016 | 10:50 AM | 1777 views
MUKIM PENGKALAN BATU
Ahad, 25 September. - Kehidupan berkelompok dalam memenuhi kehendak biologi, kemasyarakatan dan alam sekitar yang sesuai dengan jasmani serta rohani juga mempunyai nilai intelek, saintifik, teknologikal, pemikiran dan ekspresi dipanggil secara majmuknya sebagai budaya.
Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata, budaya mencerminkan identiti sesuatu kelompok atau masyarakat atau bangsa.
Berucap pada Majlis Pertemuan Budaya Melayu Kedayan 2016 yang berlangsung di Taman Peranginan Kampung Parit, Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy menjelaskan bahawa terus memiliki budaya bangsa adalah satu kebanggaan, manakala berjaya mempertahankan, mengangkat dan memartabatkan budaya itu adalah satu kecemerlangan pada bangsa itu sendiri.
''Ekspresi budaya dalam bentuk amalan-amalan yang diwarisi sama ada yang ketara (tangible) atau tidak ketara (intangible) adalah harta yang tidak ternilai harganya yang harus dipertahankan, diangkat dan dimartabatkan agar ia bertahan dari generasi ke generasi.
Saya berbangga melihat program seperti Pertemuan Budaya Melayu Kedayan 2016 dilaksanakan oleh Puak Etnik Kedayan di bawah pelaksanaan Persatuan Melayu Kedayan.
Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas usaha Persatuan Melayu Kedayan (PEMEDAYAN) dengan melaksanakan aktiviti yang bercorak memperkukuh amalan budaya salah satu puak di Negara Brunei Darussalam. Pelaksanaan Makan Tahun Puak Kedayan adalah salah satu manifestasi kegiatan yang dilaksanakan mempunyai nilai kebudayaan yang tinggi,'' terangnya.
Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy seterusnya menyeru agar PEMEDAYAN terus membantu usaha-usaha kerajaan dalam melindungi warisan budaya tidak ketara (Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage) dengan cara melaksanakan pelbagai kegiatan dan mendokumentasikan amalan-amalan, beberapa kegiatan kebudayaan Puak Kedayan yang sudah pupus dan sudah lama tidak diamalkan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Aimi Sani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]