Home > Bahasa Melayu
Kerjasama pelbagai hala kukuhkan hubungan Viet Nam - NBD
Presiden Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Tran Dai Quang semasa menyampaikan ucapan balas. | INFOFOTO
August 28th, 2016 | 10:21 AM | 1203 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sabtu, 27 Ogos. - Republik Sosialis Viet Nam dan Negara Brunei Darussalam akan bekerjasama lebih rapat dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MOU) pelbagai hala, antaranya dalam kebudayaan, ekonomi dan perdagangan.
Presiden Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Tran Dai Quang menggariskan perkara itu dalam ucapan balasnya pada Majlis Santap Negara yang berlangsung di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman, seterusnya menjelaskan bahawa dalam kerjasama dua hala, kedua-dua buah negara akan bekerjasama rapat pada forum antarabangsa dan serantau terutama pada peringkat ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menurut Tuan Yang Terutama, kedua-dua buah negara akan bekerjasama untuk memainkan peranan penting bagi kekukuhan Komuniti ASEAN serta mempunyai kepentingan bersama dalam kerjasama Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang mana Negara Brunei Darussalam merupakan negara pengasas.
Terdahulu, TYT melahirkan rasa kagum tentang hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 sebagai salah satu negara terbaik di dunia dengan kualiti kehidupan yang tinggi dan dasar kebajikan sosial yang ideal.
"Saya amat gembira persahabatan dan kerjasama erat di antara Viet Nam dan Brunei Darussalam telah berkembang dari tahun ke tahun," jelas TYT.
Hubungan politik dikukuhkan lagi dengan beberapa pertukaran lawatan dan mesyuarat, juga kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, keselamatan, pertahanan, pendidikan dan latihan, pertanian dan perikanan yang semakin meluas dengan hasil yang ketara.
Dalam pada itu, TYT turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja yang lain.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]