Home > Bahasa Melayu
AMCA Berperanan Membangun Kebudayaan dan Kesenian
YANG BERHORMAT Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Ketujuh Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) |FOTO : PELITA BRUNEI (Hamzah Mohidin)
August 25th, 2016 | 11:16 AM | 1339 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Rabu, 24 Ogos. - Keperluan untuk melindungi warisan budaya ketika ini adalah lebih besar berbanding sebelumnya secara globalisasi dalam bentuk pembangunan dan perubahan sosial yang jika tidak diendahkan akan membawa kesan negatif iaitu boleh menjejaskan toleransi dan menghormati budaya masing-masing.
Oleh itu, institusi kebudayaan dan masyarakat itu sendiri harus dan perlu memainkan peranan utama dalam menangani persekitaran yang mencabar ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, semasa berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Ketujuh Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) bertempat di East Wing II, Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.
Menurut Yang Berhormat, ianya adalah selaras dengan usaha-usaha antarabangsa untuk memelihara warisan kebudayaan dan kepentingan elemen tidak ketara vis-a-vis selain kepentingan koleksi warisan budaya, lokasi dan tempat kebudayaan.
"Terdapat pertalian antara budaya dan identiti, kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan kerja tangan masyarakat untuk meneruskan pembangunan mampan melalui usaha mensinergikan dasar kebudayaan, adat, budaya dan industri kreatif serta pelancongan kebudayaan.
Tetapi kita lihat apa yang seolah-olah menjadi pereputan nilai budaya dan pemahaman di kalangan generasi muda kita yang jika tidak ditangani dengan berkesan, boleh membawa kepada pecahan fabrik masyarakat, menyebabkan pembuatan keputusan politik dan ekonomi secara tidak rasional.
Pengertian masyarakat bukan sesuatu yang kita boleh ambil mudah. Tanggungjawab untuk melindungi, memelihara dan menggalakkan nilai-nilai budaya harus diwariskan kepada belia kita. Kita perlu melibatkan mereka dalam usaha supaya generasi muda bukan sahaja akan ingat budaya mereka tetapi lebih penting lagi mereka akan menghargai nilai dan dengan itu memberikan budaya kita melalui cara hidup mereka untuk menyampaikan kepada generasi akan datang," jelas Yang Berhormat.
Dalam hal ini ujar Yang Berhormat, AMCA akan bersama-sama meneroka pentingnya peranan institusi pendidikan dalam menyebarkan nilai-nilai budaya tempatan melalui pendidikan.
"Kami akan memastikan asthetics, nilai-nilai moral, pengalaman budaya, nilai-nilai pendidikan, pembangunan peribadi dan terutamanya identiti kita akan terus berkembang dan diwariskan kepada generasi masa depan kita," ujar Yang Berhormat.
Oleh itu, pendidikan mempunyai peranan yang amat penting dalam menyebarkan nilai-nilai dan warisan itu.
Sementara itu, perkembangan dan pertumbuhan ekonomi kreatif menurut Yang Berhormat juga harus melibatkan ramai peserta dan usahawan wanita, di mana peranan mereka ini sangat memberi kesan dalam memastikan budaya, seni dan tradisi masih diamalkan dalam masyarakat kita.
Manakala, belia sebagai pemimpin masa hadapan harus diperlengkapkan bukan hanya dengan teknologi dan pengetahuan terkini tetapi juga dengan kebudayaan dan kesenian, iaitu melindungi, memelihara, mendokumen dan mempromosikan aktiviti kebudayaan.
Dalam pada itu tegas Yang Berhormat, AMCA harus mengambil langkah yang perlu dalam membangunkan peranan kebudayaan dan kesenian yang boleh diukur secara berkesan melalui perisikan budaya dan mewujudkan petunjuk yang berkaitan bagi pemimpin perniagaan ASEAN dan belia di samping mengakui serta memberi kuasa kepada belia dan wanita dalam aktiviti kebudayaan dan pergerakan, akan mempercepatkan potensi kita ke arah mencapai satu daripada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation's Sustainable Development Goals - UNSDG).
Menurut Yang Berhormat, Bandar Seri Begawan sebagai Bandar Budaya ASEAN 2016 - 2017 merupakan peluang keemasan untuk menyambut kebudayaan dan kesenian ASEAN selain mempromosikan pertumbuhan industri kreatif serantau.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Aimi Sani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]