Home > In The Court
Suspek Pembunuhan Disambung Reman
October 27th, 2020 | 11:08 AM | 665 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sepasang suami isteri yang merupakan warga tempatan, yang juga suspek kes pembunuhan seorang wanita di Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Jalan Derma Wangsa, Kuala Belait disambung reman selama 14 hari oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret Kanan, Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman mempersetujui permohonan reman yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abd. Rahman kepada suspek-suspek, iaitu Hassan bin Yussof dan Rosnani binti Tanga.
Permohonan tersebut adalah bagi membantu siasatan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi kesalahan di bawah Seksyen 302, iaitu Bunuh, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.
Terdahulu, PPDB menerima panggilan kecemasan menerusi Talian Kecemasan Polis 993 berhubung dengan seorang wanita yang tidak sedarkan diri dan dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Kampung STKRJ Jalan Derma Wangsa, Kuala Belait pada 10 Oktober lalu, kira-kira jam 8.54 pagi.
Siasatan awal juga mendapati kesan-kesan luka di bahagian tubuh mangsa.
Kes akan disebut semula pada 9 November 2020, jam 2.00 petang.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]